Nur Zarina rasa bertuah diberi peluang

GEORGE TOWN – Pelantikan lima ahli majlis sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dilihat mampu memantapkan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan.

Kenyataan tersebut dinyatakan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail pada pengumuman pelantikan berkaitan bersempena Mesyuarat Biasa MBPP Pertama Bagi Tahun 2016 di Dewan Bandaran, di sini baru-baru ini.

Kata Patahiyah, Felix Ooi Keat Hin dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perancangan Pemajuan; Joseph Ng Soon Siang (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan); Nur Zarina Zakaria (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Lalulintas); Ong Ah Teong (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam) dan Ahmad Azrizal Tahir (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Penguatkuasaan dan Pendidikan Awam).

“Turut tersenarai adalah lantikan Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) dan Pihak Berkuasa Pelantikan dan Pihak Berkuasa Tatatertib.

“Lantikan ini adalah berkuatkuasa dari 14 Januari hingga 31 Disember 2016,’’ katanya di sini.

Dalam pada itu, Nur Zarina, 35, ketika ditemui menyatakan bahawa beliau berasa bertuah kerana diberikan peluang serta kepercayaan terbabit.

“Alhamdulillah , syukur. Sebagai seorang wanita, saya bertuah diberikan peluang ini.

“Selain meneruskan polisi Majlis (MBPP) dan penambahbaikan dari semasa ke semasa, saya bersama-sama ahli-ahli jawatankuasa yang lain akan meneliti segala kes berbangkit (sekiranya ada) atau yang masih belum sempat dilaksanakan sebelum ini,” ujarnya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Nur Zarina yang mempunyai pengalaman dalam bidang kejuruteraan awam dilantik sebagai Ahli Majlis MBPP sejak tahun 2013.

if (document.currentScript) {