Occupy Beach Street sebagai platform perkongsian bersama komuniti

Admin

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif berhasrat menjadikan projek Occupy Beach Street yang diadakan di Lebuh Pantai sejak 2012 sebagai platform perkongsian bukan sahaja aktiviti sihat, malah polisi dan kejayaan yang dicapai oleh Pulau Pinang selama ini.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan ke lokasi berkaitan di sini 8 Julai lalu.

Maimunah yang ditemani Setiausaha Bandaraya MBPP Ar. Yew Tung Seang, juga mahu projek Occupy Beach Street diteruskan pada masa hadapan memandangkan respons dan sambutan memberangsangkan terutama daripada rakyat Pulau Pinang.

“Kita lihat pagi ini, walaupun tanpa tema-tema atau acara besar di sini…sambutan amat baik..ramai orang datang dan ia sesuatu yang bagus.

“Jadi, saya harap kita (pihak berkuasa tempatan, MBPP dan Kerajaan Negeri) dapat menggunakan platform (Occupy Beach Street) ini untuk menyebarluaskejayaan yang dicapai berserta maklumat-maklumat berkaitan polisi dan sebagainya.

“Terutama sekali berhubung polisi hijau terbaharu Kerajaan Negeri iaitu kebersihan,” ujarnya.

Pada kunjungan kali pertama beliau sebagai Datuk Bandar baharu MBPP, Maimunah turut meluahkan hasrat untuk mempelbagaikan lagi pengisian program di sini.

“Saya ingin melihat elemen seperti pendidikan diselitkan, di samping menambah baik penglibatan komuniti dalam Occupy Beach Street dan menggunakan platform di sini sepenuhnya.

“Jadi, saya akan mengadakan perbincangan bersamasama penganjur dan melihat bagaimana kita boleh mendapatkan maklum balas daripada pengunjung…apa yang mereka ingin lihat ada di sini.

“Saya percaya, bersama kita mampu mencapai kejayaan… satu pasukan, satu suara, satu visi seperti yang disebutkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, bersama kita akan capai lebih lagi kejayaan” katanya yang meluangkan masa kira-kira 90 minit di sini.

Turut sama, Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik, Ahli-ahli Majlis MBPP seperti D. Kala dan Wong Yuee Harng, Ketua-ketua Jabatan MBPP serta wakil penganjur Occupy Beach Street.

Projek Occupy Beach Street yang juga dikenali sebagai Hari Tanpa Kereta di Lebuh Pantai diadakan setiap hari Ahad bermula dari pukul 7 pagi sehingga 1 tengah hari.

Projek hasil inisiatif MBPP dan Kerajaan Negeri berkenaan menyajikan pelbagai aktiviti komuniti serta jualan menarik yang diadakan sepanjang laluan 500 meter.

Selain bersantai, pengunjung juga dapat menikmati alunan muzik oleh ‘buskers’ dan pemuzik tempatan.