Operasi AirAsia 13 tahun di P. Pinang

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : VICTOR SEOW KOO TATT

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melahirkan rasa bangga apabila Pulau Pinang kekal sebagai hab utama untuk syarikat penerbangan, AirAsia Berhad (AirAsia) dengan jumlah perkhidmatan penerbangan berjumlah 241 seminggu membabitkan destinasi dalam dan luar negeri ini.

Selain itu, terdapat tiga pesawat Airbus A320 milik AirAsia yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang sekaligus menjadi salah satu penyumbang kepada sektor pelancongan dan pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang.

Katanya, perkhidmatan AirAsia adalah membabitkan enam laluan domestik menghubungkan Pulau Pinang dengan Semenanjung, Sabah dan Sarawak selain lima laluan antarabangsa ke Singapura, Thailand serta Indonesia. Selain itu, perkhidmatan AirAsia Fly-Thru turut menawarkan perkhidmatan penerbangan tambahan ke negara-negara luar seperti China, Australia, India, Vietnam, Sri Lanka dan lain-lain.

“Setelah 13 tahun beroperasi di Pulau Pinang, AirAsia telah banyak memperkenalkan negeri ini di peta dunia,’’ katanya pada Majlis Perasmian AirAsia Travel Fair (AATF) 2015 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Law Heng Kiang, Ooi Chok Yan (Pengurus Besar Penang Global Tourism), Aireen Omar (Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad dan Benyamin Ismail (Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Berhad).

Penganjuran tersebut merupakan julung kali diadakan di luar Lembah Klang dan Pulau Pinang merupakan destinasi kedua sebelum ia diadakan di bandar- bandar lain.

Menurut Guan Eng, jumlah pelancong asing ke negeri ini meningkat dari 3,528,177 orang pada tahun 2013 kepada 4,888,856 (2014).

“Data dari LTAPP juga menunjukkan peningkatan sebanyak 10 peratus penumpang dari 5.48 juta penumpang pada 2013 kepada 6.3 juta, 2014,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Aireen memberitahu, pihaknya dalam proses perbincangan akhir dan sedang menunggu kelulusan pihak berkuasa penerbangan Amerika Syarikat bagi perkhidmatan penerbangan ke Hawaii.

“Selain itu, AirAsia juga berusaha menambah penerbangan ke Timur Tengah serta Jepun, selain mempunyai 90 destinasi utama dunia kini,” jelas beliau.