Operasi CCTV di Seberang Perai 24 jam

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Sebanyak 86 kamera litar tertutup (CCTV) siap dipasang di beberapa lokasi strategik sekitar Seberang Perai serta beroperasi 24 jam demi meningkatkan mutu keselamatan rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telahpun menambah bilangan pegawai operasi di bilik pemantauan CCTV sebagai usaha membantu polis mengawasi jenayah.

“(Pemantauan CCTV) 24 jam MPSP dengan sokongan polis di Seberang Perai sahaja.

“(Ini kerana), tak cukup Pulau Pinang dilihat selamat, tetapi, yang lebih penting tiap-tiap kita (rakyat) benar-benar berasa selamat,” ujarnya pada majlis perasmian operasi di bilik kawalan CCTV dekat Kompleks Ibu Pejabat MPSP, Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Hampir semua Exco Kerajaan Negeri, wakil Ketua Polis Negeri dan Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud turut menyertai majlis tersebut.

Difahamkan, MPSP memasang 56 CCTV untuk tempoh lima tahun, menelan belanja RM9.8 juta.

Baki, 30 CCTV lagi disumbangkan oleh pembekal, syarikat swasta.

“37 (CCTV) dipasang di Daerah Seberang Perai Tengah, 46 di Seberang Perai Tengah dan 27 Seberang Perai Selatan,” jelas Guan Eng.

Itu, katanya, tidak termasuk 24 CCTV yang dipasang oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak tahun 2011, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 110 buah.

“Saya difahamkan bahawa KPKT akan menyumbangkan 20 buah CCTV kepada majlis (MPSP) pada hujung tahun ini,” jelasnya yang juga Ahli
Parlimen Bagan.

Menurut beliau, kerjasama bersepadu dengan polis, pemajuan sistem teknologi cegah jenayah seperti CCTV dan lampu jalan, serta mewujudkan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) merupakan tiga kaedah yang diamalkan Kerajaan Negeri demi mewujudkan perasaan selamat dalam kalangan rakyat di negeri ini.