Optics Balzers labur RM72 juta, sumbang 200 peluang kerja

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

PERAI – Syarikat pengeluar komponen kanta bersalut, Optics Balzers dari Jerman melabur RM72 juta dalam tempoh lima tahun di Pulau Pinang, dengan menyumbang 200 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat negeri ini.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Pulau Pinang dipilih kerana persekitaran ekonomi dan perindustrian masih berdaya saing, selain keadaan logistik yang baik serta tenaga pekerja mahir mencukupi.

“Kira-kira 15 orang (warganegara) dari Malaysia berada di Ibu Pejabat Liechtenstein (dekat Jerman) untuk menjalani latihan, dan sekitar 10 kakitangan dari Balzers ke Malaysia untuk bekerja untuk tapak baharu di Pulau Pinang ini.

“Saya gembira Optics Balzers akan mewujudkan kirakira 200 peluang pekerjaan di Pulau Pinang dengan nilai pelaburan untuk lima tahun pertama RM72 juta,” katanya dalam Majlis Perasmian Pembukaan Operasi Optics Balzers Malaysia Sdn. Bhd. dekat Zon Perindustrian Bebas Perai, di sini 18 November lalu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Optics Balzers Malaysia, Alex Vogt, Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) Pulau Pinang Azhana Mohamed Saleh dan Pengurus Besar investPenang, Loo Lee Lian.

Sehingga Ogos lalu, Guan Eng memberitahu, Pulau Pinang di kedudukan ketiga dengan jumlah pelaburan tahunan 2017 sejumlah RM3.77 bilion.

Tambah beliau, pelaburan ke Pulau Pinang dalam tempoh lapan tahun mulai 2008 hingga 2015 direkodkan meningkat 87 peratus atau RM25.5 bilion menjadi RM54.9 bilion, berbanding RM29.4 bilion dalam tempoh sama, dari 2000 hingga 2007.

“Peningkatan jumlah pelaburan ke negeri ini sekaligus turut mewujudkan kira-kira 128,317 peluang pekerjaan baru,’’ ujar beliau.} else {