P e n g e c u a l i a n sepenuhnya tukar guna bangunan, pengusaha taska dan pusat jagaan diseru daftar segera

Admin

GEORGE TOWN – Susah untuk mendapatkan khidmat konsultan dengan bayaran bersesuaian serta beroperasi di premis sewaan adalah antara faktor taska, pusat jagaan kanak-kanak dan orang-orang tua di sini tidak mendaftarkan perniagaan masing-masing secara sah, respons Datuk

Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang.

Pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) baru-baru ini, katanya, sehingga kini, menurut rekod, masih terdapat sebanyak 172 premis belum mendaftarkan perniagaan masing-masing meskipun tempoh pemutihan akan tamat tidak lama lagi.

“Dalam tempoh pemutihan tersebut iaitu sejak 15 September 2017, bilangan pengusaha yang mengemukakan permohonan tukar guna bangunan kepada MBPP adalah kurang memberangsangkan iaitu kira-kira 9 (pengusaha) sahaja.

“MBPP dalam pada itu menyeru pengusahapengusaha ini supaya tampil mengambil tindakan segera dengan mengemukakan permohonan tukar guna bangunan dan mematuhi syarat-syarat teknikal yang ditetapkan sebelum tamat tempoh pemutihan pada 14 September 2018,” ujarnya sambil menyatakan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil secara bersepadu selepas tamat tempoh tersebut.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita & Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan MBPP.

Mengulas lanjut, tambah Tung Seang, pada 12 Oktober 2017, Kerajaan Negeri telah membuat pengumuman pemberian diskaun sebanyak 90 peratus bagi bayaran infrastruktur tukar guna bangunan bagi tempoh setahun (15 September 2017 hingga 14 September 2018).

“Diskaun ini adalah layak kepada pengusaha taska dan pusat jagaan yang telah beroperasi sebelum 15 September 2017 sahaja.

“Manakala, bagi taska dan pusat jagaan yang beroperasi selepas tarikh tersebut, mereka dikehendaki mematuhi garis panduan MBPP sedia ada sepenuhnya,” jelasnya.

Menurut Tung Seang lagi, bagi membantu taska dan pusat jagaan berkenaan beroperasi secara sah sepenuhnya, mesyuarat yang berlangsung turut meluluskan pengecualian sepenuhnya bayaran caruman untuk tukar guna bangunan kepada taska serta pusat jagaan.

“Jika sebelum ini tukar guna bangunan adalah melibatkan RM15 bagi setiap kaki persegi (kp), tetapi pada 28 Februari lalu, kita (MBPP) telah menurunkannya kepada RM5/kp… itupun kurang mendapat sambutan dan kini ia akan diberikan pengecualian sepenuhnya,” kata beliau.