P. Pinang capai kadar kitar semula lebihi sasaran nasional

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & LAW SUUN TING

AIR PUTIH – Pulau Pinang mensasarkan kadar kitar semula melebihi 40 peratus menjelang tahun 2020. Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pada masa ini, Pulau Pinang merupakan negeri yang mencatat kadar kitar semula tertinggi dalam negara iaitu 32 peratus.

“Kadar ini (32 peratus) juga melebihi kadar kitar kitar semula nasional iaitu 10.5 peratus sahaja.

“Sejak melaksanakan kempen Pengasingan Sisa Di Punca pada 1 Jun lalu, kadar kitar semula (Pulau Pinang) menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

“Semua adalah hasil inisiatif dan usaha rakyat Pulau Pinang bersama-sama pihak berkuasa tempatan (PBT),” ucapnya pada Majlis Perasmian Pengasingan Sisa Di Punca bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Putih dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, barisan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta wakil-wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Air Putih.

Guan Eng dalam pada itu berharap agar usaha Kerajaan Negeri terus dilaksanakan dan rakyat sedar bahawa usaha berkaitan (Pengasingan Sisa Di Punca) adalah demi masa hadapan anak cucu kita.

“Media juga berperanan membantu Kerajaan Negeri memberi pendidikan kepada rakyat untuk mengasingkan sisa yang seterusnya menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang bersih, hijau, sihat dan selamat,” katanya yang menyeru semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan inisiatif tersebut.

Pada majlis berasingan, Guan Eng turut memuji pihak pengurusan pusat membeli-belah Queensbay (Queensbay Mall) yang telah mempraktikkan pengasingan sisa sejak tahun 2012.

“Hasil cukup memberangsangkan apabila Queensbay Mall berjaya mengitar semula sisa sebanyak 94,400 kilogram (kg) pada 2014 dan 90,800kg (2015).

“Usaha pengasingan sisa di punca bukanlah sesuatu yang baru, malah telah dipraktikkan di negara-negara maju seperti Jepun dan Jerman, malah ada antara negara maju yang telah menjangkau 70 peratus kadar kitar semula.

“(Dan) Pulau Pinang berbangga kerana berjaya mencapai kadar kitar semula melebihi sasaran nasional,” katanya ketika merasmikan Kempen ‘Think Green, Act Green’ di pusat membeli-belah berkaitan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow turut sama memeriahkan kempen berkaitan.

if (document.currentScript) {