P. Pinang konsisten martabat wanita – Ahli Majlis

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Dua pengiktirafan yang diberikan kepada Yang Di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Datuk Maimunah Mohd. Sharif baru-baru ini turut mendapat rakaman penghargaan pada sesi penggulungan Majlis Mesyuarat Penuh di sini baru-baru ini.

Maimunah menerima anugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Lahir Tuan Yang Terutama Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas, serta dipilih menerima anugerah Best Planner of The Year 2014 daripada Malaysian Institute of Planners (MIP) pada 12 September lepas.

Ahli Majlis, M. Satees dalam ucapannya secara tidak langsung turut menyentuh isu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang ditolak daripada menjadi Menteri Besar Selangor, sungguhpun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang berkenaan telahpun mempunyai sokongan majoriti.

“Datuk YDP (Maimunah) merupakan satu contoh di mana, seorang wanita telah membuktikan kebolehannya dalam mengetuai kerajaan tempatan dan membawanya ke arah kecemerlangan.

“Saya harap, pihak-pihak yang membantah apabila seorang wanita diangkat untuk mengetuai kerajaan dapat lihat dengan mata sendiri di mana, Majlis Perbandaran Seberang Perai, satu kerajaan tempatan telah mencapai begitu banyak transformasi positif di bawah kepimpinan seorang wanita.

“Janganlah sekalipun ada yang menafikan kebolehan seorang wanita untuk memimpin hanya kerana pemimpin itu seorang wanita,” ujarnya di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Maimunah dipilih menerima darjah kebesaran atas sumbangannya mengharumkan Pulau Pinang serta MPSP dengan menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Manakala, Maimunah dipilih sebagai penerima utama daripada 2,000 calon Planner Of The Year 2014 pula atas kejayaannya menguruskan pentadbiran MPSP dan penyampaian anugerahnya disempurnakan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.