P. Pinang sasar 40% kitar semula menjelang 2020 – Exco

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menyasarkan 40 peratus kadar kitar semula menjelang tahun 2020 berbanding 32 peratus kini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif Kerajaan Negeri melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca adalah satu usaha relevan yang akan membantu negeri menjayakan sasaran tersebut.

“Sejak dasar tersebut diperkenalkan 1 Jun lalu, keduadua pihak berkuasa tempatan (PBT) telah berjaya meningkatkan jumlah kutipan bahan kitar semula saban minggu.

“Secara purata, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berjaya mengumpul antara 4 hingga 5 tan bahan kitar semula dalam tempoh seminggu kini.

“Manakala, pungutan mingguan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) adalah antara 1 hingga 2 tan,” jelasnya pada Majlis Perasmian Pertandingan Mewarna Kanak-kanak Pengasingan Sisa Di Punca di Flat Jalan Kedah di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis MBPP, Wong Yuee Harng dan Pengerusi Jawatankuasa JMB Flat Jalan Kedah, Tay Chye Hock.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, pungutan (bahan kitar semula) oleh MPSP mencatat jumlah lebih tinggi disebabkan kawasan Seberang Perai mempunyai lebih banyak premis bertanah berbanding premis bertingkat seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR), pangsapuri dan kondominium yang diuruskan oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB).

“Bagi premis berstrata, kaedah dan sistem pengasingan dikendalikan oleh JMB.

“Justeru, kami (Kerajaan Negeri) merayu kepada pihak JMB atau jawatankuasa pengurusan untuk menjadi lebih proaktif dan berhubung dengan Ahli-ahli Majlis, wakil negeri atau pihak PBT sekiranya mereka keliru atau memerlukan bantuan serta penjelasan lanjut berhubung dasar ini.

“Kerajaan Negeri ingin memastikan semua isi rumah di negeri ini benar-benar memahami dan menyesuaikan diri dengan dasar baru ini sebelum ia dikuatkuasakan secara mandatori pada 1 Jun 2017,” ujarnya.

Berikutan pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca sejak 1 Jun lalu, Kerajaan Negeri memberikan penangguhan selama setahun bagi mendidik isi rumah mengasingkan sisa di peringkat sumber sebelum menjalankan tindakan penguatkuasaan mandatori.

Melalui pelaksanaan dasar berkaitan, isi rumah premis bertanah perlu mengasingkan bahan kitar semula seperti kertas, plastik, kaca dan tin aluminium di luar rumah untuk kutipan pada setiap hari Sabtu.

Bagi premis bertingkat, pihak JMB perlu menyediakan ruang khas untuk penduduk meletakkan bahan-bahan yang telah diasingkan mengikut komponen sebelum mengatur kutipan oleh syarikat kitar semula.

}