P. Pinang sebagai negeri bertaraf antarabangsa, keyakinan pelabur & pelancong adalah perkara utama – KM

BAYAN BARU – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mahu warga kerja Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) meningkatkan kualiti kerja dan memanfaatkan kepercayaan yang diberikan sebaik mungkin.

Guan Eng dalam ucapannya mengingatkan semua kakitangan perbadanan tersebut agar memegang tugas yang diamanahkan oleh rakyat dengan jujur.

“Kita (Kerajaan Negeri) harap semua projek-projek yang dijalankan akan dilaksanakan dengan baik, warga PDC perlulah bekerja dengan ikhlas, rajin dan bersih.

“Sekiranya kita menunjukkan komitmen kerja yang baik, maka kita dapat mencapai hasrat untuk mentransformasikan Pulau Pinang menjadi sebuah negeri bertaraf antarabangsa.

“Justeru, saya berharap semua kakitangan (PDC) akan bekerja dengan lebih rajin dan bersungguhsungguh supaya dalam keadaan ekonomi yang lebih mencabar ini, kita (Kerajaan Negeri) boleh terus mencapai keuntungan,” ujarnya pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PDC di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan), Law Heng Kiang (Exco Pembangunan Pelancongan) serta Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar.

Kira-kira 300 kakitangan dan jemputan khas hadir memeriahkan sambutan Tahun Ayam tersebut. Dalam pada itu, Guan Eng yang juga merupakan Pengerusi PDC berkata, untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri bertaraf antarabangsa, keyakinan pelabur dan pelancong adalah perkara utama.

“Sekiranya pelabur yakin, maka kita boleh lihat transformasi seperti kini yang berlaku di Pulau Pinang.

“Tanpa keyakinan, sungguhpun Kerajaan Negeri membelanjakan wang, pelabur tidak akan datang juga.

“Maka, saya berharap model P4 (Public Private People Partnership) akan terus menjadi model pembangunan Pulau Pinang di masa hadapan,” ujar beliau.