P. Pinang sebagai peneraju kajian teknologi pengurusan sisa terjadual negara

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Pulau Pinang dipilih sebagai peneraju projek kajian teknologi pengurusan sisa terjadual di Malaysia di bawah tanggungjawab alam sekitar korporat (corporate environmeny responsibility, CER) bersama melalui perkongsian awam dan swasta (PPP) antara negeri ini dan Jepun.

Perkara itu dinyatakan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh pada mesyuarat permulaan Program Teknologi Pemprosesan Sisa Bagi Merkuri di Pulau Pinang di sini, baru-baru ini.

Projek dibiayai Japan International Cooperation Agency (JICA) itu turut mendapat kerjasama beberapa pihak antaranya, syarikat swasta yang menjadi peneraju teknologi tersebut dari Jepun, Nomura Kohsan Co. Ltd., Global Environment Centre Foundation (GEC), Penang Green Council (PGC), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Kesihatan Negeri dan Shan Poornam Metals Sdn. Bhd. (salah sebuah syarikat swasta yang menguruskan sisa pepejal dan berjadual di Seberang Perai).

Menurut Boon Poh, kajian terhadap program berkenaan akan memfokus dalam menetapkan mekanisme yang bersesuaian supaya pelaksanaan dasar-dasar kecekapan pengurusan sisa termasuk sisa berjadual tidak memberi impak terhadap alam sekitar.

“Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa kesan merkuri terhadap kesihatan dan alam sekitar.

Umumnya, ramai yang terlepas pandang walaupun sudah terbukti oleh pakar-pakar kesihatan bahawa bahan logam berat seperti merkuri ini boleh memberi kesan ke atas sel-sel manusia.

“Malah, ramai juga yang tidak tahu, perkakasan seperti bateri, lampu kalimantang dan lampu kalimantang mampat (CFL) mengandungi merkuri (raksa).

“Juga, ramai tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada bahan-bahan kitar semula termasuk sisa elektronik (e-waste) dan sisa berjadual (merkuri) selepas dipungut oleh pihak-pihak tertentu,” katanya pada majlis berkaitan.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif merangkap Setiausaha Agung GEC, Hideo Taki dan wakil JICA, Fukazawa Shinsaku.

Mengulas lanjut, Boon Poh memberitahu bahawa syarikat-syarikat atau kedai jualan perkakasan di negara ini juga tidak menyediakan maklumat berkaitan pembuangan dan pengurusan sisa berkenaan.

Malah, jelasnya, ada yang mengambil jalan mudah dengan membuang ia di merata-rata tempat termasuk ke dalam sumber air atau menyimpannya di tempat terbuka.

“Sisa buangan terutamanya yang mengandungi merkuri mestilah dikendalikan dengan betul bagi mengelakkan pencemaran dan larut lesap sama ada dalam proses pengumpulan, pengangkutan, penyimpanan dan pemulihan yang boleh mencemarkan alam sekitar,” ujar beliau.

Tambah Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, sebagai sebuah negara sedang membangun, Malaysia perlu lebih peka dalam melaksanakan pengurusan bersepadu sisa buangan.

“Atas dasar itulah, kita bersetuju apabila JICA dan GEC mahu menaja kajian teknologi pengurusan sisa selama dua tahun bermula tahun hadapan.

“Kajian itu seterusnya akan dibawa untuk merangka satu dasar yang akan digunapakai di Malaysia dan mungkin juga di negara-negara ASEAN lain melalui penyelarasan antara negara,” katanya.

Dalam pada itu, Fukazawa menyatakan bahawa pihaknya sedia membantu Pulau Pinang dalam merealisasikan kajian tersebut.

“Kami di Jepun telah melalui tragedi pencemaran merkuri pada tahun 1953 yang dikenali sebagai tragedi Minamata.

Ia merupakan pengajaran terbesar dan telah meragut sebilangan nyawa termasuk kesengsaraan kekal selama beberapa generasi.

“Tragedi ini merupakan contoh kepada dunia bagaimana efluen (sisa buangan) dari kilang industri kimia menyebabkan hidupan laut tercemar dengan metilmerkuri yang berkepekatan tinggi.

“Kami telah melihat bagaimana masalah kongenital pada bayi sehingga menyebabkan kerencatan akal dan penyakit serebral palsi, dan kami tidak mahu ianya berulang,” katanya ketika menjawab persoalan bagaimana Jepun boleh membantu dalam teknologi pengurusan sisa di sini.

Tambah beliau, Jepun sedia berkongsi kepakaran dan penyelidikan dalam bidang pengurusan sisa sekaligus meninggalkan satu legasi yang dapat dijadikan rujukan pada masa hadapan.

Nada sama turut disuarakan Hideo yang yakin bahawa kajian tersebut akan menjadi rujukan terpenting bagi Malaysia dan negara serantau.

 document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);