P. Pinang terus terima pelaburan, kilang baru dibuka – KM

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, sungguhpun terdapat kilang-kilang ditutup ekoran penstrukturan semula, tetapi masih ada kilang baru yang dibuka di negeri ini.

Malah, jelasnya, Pulau Pinang masih kekurangan pekerja dengan kadar pengangguran sebanyak 1.5 peratus iaitu (kadar) terendah di Malaysia. Menurut Guan Eng, antara pelaburan baru yang diterima bukan sahaja dalam sektor pembuatan elektrik dan elektronik (E&E), malah juga peralatan perubatan dan sektor LED (diod pemancar cahaya).

“Terbaru, projek kemudahan baru Hewlett Packard (HP) seluas 20 ekar di Taman Perindustrian Batu Kawan membabitkan pelaburan lebih RM1 bilion dengan kira-kira 300 kakitangan operasi.

“Broadcom (dahulunya dikenali sebagai Avago) juga giat membangunkan pusat logistik global barunya yang merupakan sebahagian daripada RM1 bilion pelaburan baru mereka di Pulau Pinang.

“Manakala, peneraju global dalam industri peralatan perubatan, Boston Scientific yang telah memulakan pembinaan kilang dengan rancangan pelaburan sejumlah RM223 juta di lokasi sama.

“Tidak ketinggalan, sebuah syarikat terkenal dunia berteraskan perubatan, KLS Martin dengan nilai pelaburan sebanyak RM8 juta telah mula beroperasi di Juru termasuk kilang Osram Opto Semiconductor (RM15.5 juta) di BLIP Fasa 1 (sedang dibangunkan oleh PDC),” ucapnya pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) 2016 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy serta Exco-exco Kerajaan Negeri dan Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, pertumbuhan besar ditunjukkan Pulau Pinang dari segi pelaburan baru, perkhidmatan dan sokongan teknikal telah memacu sektor Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS).

Malah, ujarnya, sebahagian besar aktiviti perniagaan yang dijalankan termasuk dalam Perkongsian Perkhidmatan dan Penyumberan Luar (SSO), Proses Perniagaan Khidmat Luaran (BPO) dan Penyumberan Luar Teknologi Maklumat (KPO) turut berkembang pesat seiring dengan kehendak pasaran global.

“Berikutan penubuhan pusat perisian oleh Kerry Logistics di Cybercity Pulau Pinang, tiga buah syarikat lain juga sedang membuat persediaan untuk memulakan operasi GBS di hab BPO Prime (Bayan Baru) yang secara tidak langsung menjana kira-kira 700 peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat.

“(Senario) ini termasuk perjanjian usahasama yang dijalinkan PDC dengan pemain-pemain industri terkemuka global seperti Temasek dan Economic Development Innovations Singapore (EDIS) yang akan memberikan satu keyakinan untuk masa hadapan yang cerah buat Pulau Pinang,” ujar beliau.