P. Ramlee sebagai ikon perpaduan negara

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

AIR ITAM – Perjuangan seni Allahyarham Tan Sri P. Ramlee adalah simbol perpaduan sejagat yang wajar diteladani dan dijadikan inspirasi generasi muda kini, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sempena Majlis Penutupan Rasmi Festival P. Ramlee Pulau Pinang ke-2 di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, keupayaan seniman agung itu bukan sahaja menyumbang kepada industri seni muzik dan filem tanah air, malah karyanya yang bersifat sejagat mengandungi kepelbagaian budaya masyarakat di Malaysia.

“Kekuatan hasil karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tiada tolok bandingannya hingga ke hari ini.

“Justeru, saya menyambut baik cadangan Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) untuk mengangkat P. Ramlee sebagai ikon perpaduan negara yang amat dikenali oleh semua lapisan masyarakat dan kaum,” ujarnya.

Festival P. Ramlee Pulau Pinang ke-2 selama tiga hari adalah kesinambungan kejayaan penganjuran tahun 2013. Antara pengisian penganjuran adalah wayang pacak, senamrobik versi P. Ramlee dan Saloma, Forum Nusantara dan tiru gaya P. Ramlee. Malah, pemilihan penganjuran pada bulan Mac tahun ini adalah sempena meraikan kelahiran seniman agung ulung negara berkenaan.

Festival P. Ramlee anjuran Penang Institute (PI) turut dijayakan dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Air Itam, Persatuan Sahabat Belia Pulau Pinang dan Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif PI, Zairil Khir Johari, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan ADUN Air Itam, Wong Hon Wai.

Menurut Guan Eng, penganjuran festival tersebut adalah bukti bahawa P. Ramlee adalah lagenda yang sentiasa hidup dalam hati genarasi muda walaupun setelah 41 tahun pemergiannya.

“Saya berharap dengan adanya inisiatif sebegini, maka kita boleh lahirkan seorang lagi P. Ramlee di Pulau Pinang kerana kita perlu lebih ramai lagi seperti beliau,’’ serunya.

Dalam pada itu, Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera menyatakan bahawa karya seni P. Ramlee yang bersifat polemik, masih lagi relevan sehingga ke hari ini dan dijadikan rujukan untuk perkembangan ilmu dan kebudayaan serantau.

Malah, beliau turut bersyukur dengan penglibatan masyarakat sekitar dalam menjayakan penganjuran berkenaan.

“Penduduk Kampung Melayu cukup ‘sporting’ dan bertungkus lumus menjayakan festival ini, tahniah dan terima kasih kepada semua,” ujar Zairil yang turut meraikan festival bersama penduduk di sini.