Pak Long martabat sukan bina badan, tidak kedekut kongsi ilmu

AHMAD Chemeah atau lebih dikenali sebagai Pak Long.
AHMAD Chemeah atau lebih dikenali sebagai Pak Long.

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

GAMBAR-gambar karektor hero filem Tarzan dan gambar-gambar mat saleh berbadan sasa menjadi rujukan utama Pak Long yang menyemai impian untuk memiliki susuk badan seumpama sejak di bangku sekolah.

 

“Zaman dulu, hanya boleh rujuk pada gambar-gambar dari majalah, tiada internet. Malah, orang memang tidak minat sangat bidang seni bina badan ni.

 

“Tapi, Pak Long memang minat dan memang cita-cita nak miliki badan macam tu (badan berotot),” jawab Pak Long ketika ditemui di pusat gym miliknya di Kampung Kubang Menerong, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU) baru-baru ini.

 

Lazimnya, sesi wawancara dengan Pak Long atau nama sebenar, Ahmad Chemeah, 66, adalah tidak dirancang sama sekali.

 

Kebetulan, ketika dalam perjalanan ke lokasi wawancara yang diatur sebelum itu, Skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara melalui Gym Pak Long yang begitu menarik landskapnya.

 

Bercirikan reka bentuk ‘gua dalam taman’ dengan corak batu seakan-akan di zaman purbakala, kami memberhentikan kenderaan untuk ‘mengintai’ apa yang menarik di dalam.

 

Tidak mengecewakan, malah kedatangan kami disambut dengan hati terbuka oleh Pak Long dan isterinya, Ramlah Saani, 59, atau lebih dikenali sebagai Mak Long.

 

Walaupun peralatan di dalam Gym Pak Long nampak agak ‘berusia’, namun dari mata kasar dan emosinya, penulis dapat merasakan bahawa ia didirikan dengan kasih sayang  oleh pasangan tersebut serta keghairahan Pak Long dalam memartabatkan sukan seni bina badan.

 

Gym Pak Long ditubuhkan pada tahun 2000 semata-mata atas minat beliau tanpa berorientasikan sebarang keuntungan.

PAK Long sedang memberi tunjuk ajar kepada salah seorang 'anak muridnya'.
PAK Long sedang memberi tunjuk ajar kepada salah seorang ‘anak muridnya’.

“Pak Long nak lahirkan minat golongan muda dalam bidang ini supaya mereka (golongan muda) dapat jauhkan diri daripada aktiviti sosial yang tidak sihat.

 

“Masa itu, memang modal hanya cukup-cukup dan Pak Long beli peralatan gym yang second hand dan bawa balik sini.

 

“Apabila ada modal lebih, Pak Long besarkan sedikit demi sedikit dan kini, boleh dikira agak lengkap walaupun ia tidak setanding dengan kelengkapan moden gym masa kini,” katanya bahawa beliau hanya mengenakan bayaran sebanyak RM2 untuk setiap pengunjung tanpa mengehadkan tempoh masa latihan.

 

Kini, selain barbel, dumbbell, cakram beban dan EZ curl bar, terdapat juga peralatan-peralatan seperti cable crossover machine, chest press machine dan lain-lain di Gym Pak Long.

 

Atas faktor itu, secara purata, Pak Long memberitahu bahawa, dalam tempoh sehari, kira-kira 40 hingga 50 pengunjung akan mengunjungi gym beliau yang dibuka setiap hari dari jam 8.30 pagi sehingga 12 tengah malam.

 

Malah, Pak Long yang kini dikurniakan tiga cucu tidak pernah kedekut ilmu untuk berkongsi petua bagi melatih anak-anak muda yang mengimpikan tubuh badan sasa.

ANTARA peralatan yang terdapat di Gym Pak Long.
ANTARA peralatan yang terdapat di Gym Pak Long.

“Pak Long akan bagi nasihat tentang cara pemakanan. Jenis makanan yang perlu diamalkan, tempoh serta teknik latihan dan lain-lain yang berkaitan.

 

“Memang, kalau ikut nasihat dan amal cara pemakanan, anak-anak muda yang bertubuh kecil, dalam tempoh sebulan, pasti akan sasa,” ujar beliau yang begitu lemah lembut pertuturannya.

 

Uniknya, semua rahsia petua Pak Long adalah hasil ‘kajian’ dan pengalaman beliau sendiri. Malah, sebelum memiliki gym sendiri, padang rumput dan trek keretapi yang terletak berhadapan dengan kediamannya menjadi ‘medan’ peragaan Pak Long.

 

Mengulas lanjut, Pak Long memberitahu bahawa berkecimpung dalam bidang seni badan juga memainkan peranan besar dalam mengawal penyakit diabetes yang dihidapinya sejak berusia 30-an disebabkan genetik keluarga.

 

“Pak Long ada tiga beradik lelaki dan semua memang ada kencing manis sebab keturunan.

 

“Pak Long dengan adik yang kedua minat dalam bidang ini, kami dapat kawal dengan baik sebab dengan main gym, ia dapat ‘buang’ semua gula dalam badan dan tahap gula juga dapat maintain tanpa perlu bergantung sangat pada pil-pil hospital,” ujarnya yang turut dikurniakan dengan bakat serta kepakaran menghasilkan landskap.

 

Ketika ditanya mengenai persaingan, Pak Long menyatakan bahawa pusat-pusat gym moden tumbuh bagaikan cendawan kini. Malah, terdapat juga pelajar-pelajarnya, selepas berjaya memiliki bentuk badan diidami, masing-masing mengambil inisiatif membuka pusat gym sendiri.

 

“Bagaimanapun, Pak Long tidak merasakan sangat persaingan tersebut, mungkin disebabkan bayaran lebih murah dan suasana selesa di sini,” jawabnya ringkas.

 

Bagi perancangan masa depan, Pak Long tidak menafikan bahawa beliau berharap gym miliknya akan berkembang dengan lebih maju.

 

Pada masa sama, turut menjadi impian beliau adalah untuk mengadakan pertandingan seni bina badan secara besar-besaran sebagai salah satu cara untuk membawa bidang sukan tersebut ke suatu tahap yang lebih tinggi sekaligus mempromosikan ia dalam kalangan muda mudi.

 

Pada penghujung sesi wawancara, penulis sempat bertanyakan kepada Mak Long sama ada beliau pernah mengimpikan pasangan hidup yang berbadan sasa.

 

“Mak Long tak berapa minat pun, tapi kena ‘ambil’ juga sebab keluarga dah aturkan,” jawabnya sambil tersenyum sipu.

 

 

INFO :

GYM PAK LONG

5094, Kampung Kubang Menerong,

13300 Tasek Gelugor, SPU.

No. Tel. : 013 – 446 3637 / 04 – 573 6379

 

 

 d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);