Pameran seni amal nekad bantu golongan istimewa

GEORGE TOWN – Prihatin dengan nasib golongan kanak-kanak istimewa, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang juga seorang penggiat seni, Datuk Rosli Jaafar mengadakan Pameran Seni Amal ‘Essence of Penang’ di sini baru-baru ini.

Turut bersama-sama beliau menjayakan penganjuran berkaitan adalah pelukis sepenuh masa, Shaparel Salleh.

Bersempena penganjuran berkaitan, separuh daripada hasil jualan akan didermakan kepada institusi-institusi pendidikan kanak-kanak istimewa seperti Sekolah Sinar Harapan, Bukit Mertajam dan Pusat Kanak-kanak Kurang Upaya, Jalan Grove di sini.

Kedua-dua pusat berkenaan menyediakan pengajaran kemahiran asas harian, sesi fisioterapi dan kemahiran kognitif bagi membolehkan golongan istimewa terbabit menjalani kehidupan harian seperti biasa.

Menurut Rosli, pengumpul seni juga harus memainkan peranan penting dalam usahausaha amal.

“Timbul suatu perasaan kami (Rosli dan Shaparel) untuk tampil membantu mereka yang kurang bernasib baik, ianya adalah satu usaha yang memerlukan kemurahan hati orang ramai.

“Kami akan gembira jika pencinta dan pengumpul seni juga boleh turut membantu merealisasikan impian ini,” katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian Pameran Seni Amal ‘Essence of Penang’ di sini baru-baru ini.

Sebanyak 30 karya bertemakan ‘kebebasan’ dipamerkan di galeri tersebut.

Rosli merupakan seorang arkitek terlatih dan tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang seni. Melukis dilakukan ketika masa terluang beliau.

Bagi Shaparel, lukisan beliau telah menjadi antara koleksi Bank Negara, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah.

}