Panel khas siasat kes dakwaan renjatan elektrik Bukit Bendera

BUKIT BENDERA – Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) bakal menubuhkan panel khas bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden membabitkan seorang warga emas yang mendakwa terkena renjatan elektrik di stesen atas pada sesi lawatan beliau ke Bukit Bendera Disember tahun lalu di sini.

Pengurus Besar PHC, Dr. Lawrence Khoo berkata, panel siasatan khas tersebut bakal terdiri daripada lima individu yang akan dilantik untuk mengenalpasti punca sebenar kejadian tersebut.

Jelasnya, siasatan adalah meliputi semua aspek dan akan dijalankan secara telus termasuk menyiasat sekiranya terdapat kecuaian ketika pemasangan pokok Krismas hiasan oleh pihak kontraktor dilantik.

“Kejadian ini adalah amat dikesali.

“Kita (panel) akan menyiasat perkara ini secara menyeluruh setelah panel siasatan ditubuhkan,” ujarnya pada sidang media berhubung tindakan susulan PHC ekoran insiden berkaitan di sini baru-baru ini.

Pada Disember tahun lalu, pengunjung dikenali, Teoh Kean Huat, 70, mendakwa terkena renjatan elektrik selepas menyentuh salah satu daripada lampu pokok Krismas hiasan sejurus keluar dari tandas di stesen atas Bukit Bendera.

Beliau yang pengsan kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

Lawrence memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa arus elektrik pada lampu pokok Krismas hiasan berkaitan adalah didorong oleh faktor cuaca iaitu hujan yang kemungkinan menyebabkan penebat serta litar basah.

“Faktor kelembapan tinggi akibat musim hujan dan tangan mangsa (Kean Huat) yang basah sejurus keluar dari tandas mungkin punca berlakunya renjatan apabila kedua-dua subjek bersentuhan,” jelas beliau.if (document.currentScript) {