Partisipasi langsung rakyat mampu kurang risiko banjiir – Pengarah JPS Pulau Pinang

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN

TEMPIAS dari ribut taufan Doksuri mengakibatkan fenomena hujan luar biasa melanda negeri ini pada 15 September lalu.

Akibatnya, 270 milimeter (mm) purata taburan hujan selama sebulan telah membadai negeri ini dalam sehari serta mengakibatkan limpahan air terlalu banyak di beberapa lokaliti.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang, Ir. Sabri Abdul Mulok memberitahu, mana-mana sistem tebatan banjir yang dibina setakat ini memang tidak mampu lagi menampung limpahan air yang terlalu banyak, akhirnya mengakibatkan
beberapa kawasan dilanda bencana banjir.

Tambah beliau, situasi air laut pasang ketika kejadian hujan terlalu lebat pada 15 September lalu, menambahkan lagi kesan bencana banjir tersebut.

Pelan JPS
Menginsafi kejadian 15 September lalu, Sabri memberitahu bahawa jabatannya telah merangka dwi pelan berwajib.

Pertama, katanya, pelan projek berstruktur seperti pelebaran lembangan sungai, pemasangan pam serta perangkap sampah di lokaliti
yang telahpun dikenal pasti.

Manakala kedua, menurut Sabri, adalah pelan projek bukan struktur yang terdiri daripada kajian sistem perparitan.

“Pam dapat berfungsi mengepam lebihan air ke laut dengan lebih cepat, manakala ‘pintu’ lazimnya akan dibina berfungsi menyekat air pasang dari masuk semula ke sungai-sungai utama.

“Hujung tahun ini JPS akan gerakkan semua projek berkelas G7 (skala besar) untuk memulakan projek-projek mitigasi banjir bagi
enam sungai utama iaitu Sungai Muda, Sungai Pinang, Sungai Dua, Sungai Perai, Sungai Kerian dan Sungai Jawi.

“Kerajaan Negeri menyalurkan dana sebanyak RM40 juta untuk tujuan ini, manakala Kerajaan Pusat bersetuju menyalurkan dana RM150 juta bagi projek tebatan banjir Sungai Pinang.

“Rancangan Tebatan Banjir (RTB) ini turut melibatkan RM55 juta dari caruman perparitan.

“Bagi projek bukan struktur, JPS kini sedang membangunkan sistem amaran banjir.

“Sistem ini mampu memberi amaran apabila air sungai sedang naik. Sistem ini akan dipasang di 21 lokasi berisiko,” katanya pada sesi wawancara di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Sabri menyatakan bahawa, dalam merangka ramalan dan amaran awal, bermula tahun 2018, JPS akan berusaha
menggerakkan sistem ramalan dan amaran.

“Sistem ini akan dipasang di enam sungai yang saya sebutkan sebentar tadi yang mana situasi banjir ini akan diramal seminggu sebelum.

“Ramalan itu diharap sedikit sebanyak dapat membantu dari segi persiapan, pemindahan dan sebagainya ketika berdepan risiko banjir seperti yang berlaku baru-baru ini,” jelasnya.

Kempen
Selain langkah proaktif daripada JPS, Sabri memberitahu, risiko banjir boleh dikurangkan dengan partisipasi secara langsung daripada rakyat sendiri.

Langkahnya mudah, menurut beliau, rakyat serta pihak berkepentingan lain perlu lebih agresif melancarkan kempen mencegah pembuangan sampah ke dalam sungai dan parit.

“Suka untuk saya tekankan di sini semua pihak berkepentingan perlu menumpukan kepada kempen tidak membuang sampah dalam sungai atau longkang.

“Kempen perlu dilakukan secara agresif bahkan seawal usia kanak-kanak  lagi kempen kesedaran ini perlu dilakukan agar tidak melihat saliran dan longkang sebagai tong sampah.

“Apabila sampah terlalu banyak tersekat di rumah pam, ianya menyumbang kepada kerosakan rumah pam dan seterusnya menjadikan situasi banjir lebih buruk apabila pam tidak dapat berfungsi secara efisien atau terus rosak,” serunya.

Perubahan Cuaca
Pun begitu, Sabri menyatakan bahawa masih banyak lagi kekangan lain untuk mengurangkan risiko banjir, antaranya faktor perubahan cuaca yang memang tidak boleh dikawal oleh mana-mana pihak.

“Kadang-kadang peralihan cuaca di luar jangkaan… apa yang merisaukan ialah pattern hujan itu turun.

“Sistem pengairan perlu mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk menampung jumlah hujan lebat luar biasa bagi mengatasi perubahan cuaca tidak menentu,” ujarnya.

Difahamkan, lazimnya sistem perparitan dibina mengikut spesifikasi 20, 50 dan 100 ARI (Purata Hujan Dalam Satu Jam).

Ianya adalah ukuran dan sukatan sesuatu saliran dalam menampung isipadu hujan.

Ops Lumpur
Selain itu, Sabri memuji Kerajaan Negeri melalui pihak Exco Kerjaaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow yang melancarkan Ops Lumpur.

Menerusi operasi teknikal ini, katanya, kerja-kerja pemulihan kawasan bencana dapat dilaksanakan dalam tempoh kira-kira 24 jam sahaja.

Tambah beliau, operasi tersebut jua akan mengawasi pihak pemaju yang didapati cuai serta menyebabkan pelepasan mendakan lumpur serta mengakibatkan banjir.

Melalui ops ini, tegasnya, kontraktor yang cuai akan dihukum.

Pelan jangka panjang
Bagi Sabri, Pulau Pinang mesti mempunyai pelan jangka panjang menangani risiko banjir, termasuk kajian menyeluruh melibatkan permulaan dari empangan hingga ke lembangan sungai.

“Kajian pertama akan melibatkan Sungai Muda yang mana kita akan menjalankan kajian berkenaan demand and supply air kepada pengguna.

“Dari situ, ianya boleh mengkaji jumlah kapasiti air yang boleh dilepaskan oleh empangan, jumlah penggunaan harian, berapa kapasiti untuk menyerap banjir, menghadapi musim kemarau dan lain-lain agar sungai ini berfungsi dengan lebih efisien.

“Walau bagaimanapun kajian ini perlu melibatkan persetujuan antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Kedah,” katanya ketika menutup bicara bersama Buletin Mutiara.