PBAPP johan keseluruhan perbarisan Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2017

Admin

PBA BOLEH, PENANG BOLEH… “PBA Boleh! Penang Boleh! Kita adalah juara!” merupakan laungan kemenangan Kontinjen Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd.

(PBAPP) yang dinobatkan sebagai Kontinjen Terbaik sekaligus menjadi johan perbarisan keseluruhan sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Ekoran kemenangan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih atas kerja keras serta usaha gigih ditonjolkan 80 anggota kontinjen yang mengambil bahagian dalam perhimpunan tahunan sempena Hari Pekerja, 1 Mei lalu.

“Saya percaya, jika Pulau Pinang Boleh, PBAPP juga boleh kerana menjadi juara di peringkat nasional setelah menewaskan hampir 200 kontinjen lain seluruh Malaysia yang mengambil bahagian,” katanya pada pada sidang media di sini baru-baru ini.

Nada sama turut disuarakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Trofi kemenangan disampaikan oleh Perdana Menteri kepada Ketua Kontinjen PBAPP, Mohd. Zulkifli Abdul Hamid. Mohd. Zulkifli ketika ditemui berkata, beliau tidak menyangka kontinjen PBAPP akan menang.

“Apatah lagi apabila terdapat 200 kontinjen dari seluruh Malaysia menyertainya. “(Dan) alhamdulillah, kami berjaya,” ujar beliau.