PBT patut ada hak urus pengangkutan awam – Ahli Majlis

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sepatutnya mempunyai hak untuk menguruskan pengangkutan awam di Seberang Perai seperti dulu, kata Ahli Majlisnya, M. Satees.

Menurut beliau, dasar sentralisasi atau pemusatan kuasa yang diamalkan oleh Kerajaan Pusat dalam beberapa dekad ini telah mengakibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lebih sebagai badan pengurus dengan kuasa terhad sahaja di negeri ini.

Justeru, tambahnya, sentralisasi mengakibatkan Kerajaan Negeri hari ini dihalang untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam secara percuma melalui MPSP dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) demi menangani masalah kesesakan trafik di sini.

“Malaysia memang ada sejarah di mana, Kerajaan Tempatan mempunyai kata putus dalam perkara penting seperti pengangkutan awam.

“Sebagai contoh, satu masa dulu Penang Island Municipal Council (MPPP) pernah mengoperasi perkhidmatan trem dan basnya sendiri.

“Dalam beberapa dekad yang lalu, kuasa tersebut, satu persatu telah diambil alih daripada Kerajan Tempatan dan Kerajaan Tempatan ditinggalkan untuk mengurus sampah sebagai core businessnya,” ujarnya pada sesi penggulungan Mesyuarat Penuh Majlis di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada dua tahun lepas pernah berhasrat untuk mewujudkan pengangkutan bas awam secara percuma di seluruh negeri ini, namun, tidak mendapat kebenaran daripada Kerajaan Pusat hingga kini.

Ekoran itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mengemukakan hasrat untuk membina tiga pintasan lebuh raya dan terowong bawah dasar laut secara tender terbuka bernilai RM6.3 bilion.

Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 lagi mencadangkan amalan desentralisasi atau pengasingan kuasa yang lebih sihat membabitkan peringkat federal, Kerajaan Negeri dan PBT supaya program pemajuan pro rakyat lebih mudah dimajukan di Pulau Pinang.