PDC, Sime Darby meterai MoU bangun PKS di SPS

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN – Agensi pembangunan negeri, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Sime Darby Property (Utara) Sdn. Bhd. (Sime Darby) bagi membangunkan kawasan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berteknologi tinggi bernilai RM1.8 bilion di negeri ini.

PDC akan bekerjasama dengan perbadanan berkaitan kerajaan (GLC) itu, bagi membangunkan tanah-tanah pertanian di Byram dan Changkat, Seberang Perai Selatan (SPS) supaya menjadi sebuah taman perindustrian perdana.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara PDC dan Sime Darby di sini berkata, rancangan Sime Darby untuk membangunkan tanah tersebut bagi PKS adalah sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk menambah nilai dan meningkatkan sektor berkaitan di sini.

“Melalui perjanjian tersebut, keduadua pihak iaitu PDC dan Sime Darby akan merangka satu pelan induk khusus iaitu Pelan Induk Byram/Changkat untuk membangunkan tanah bagi PKS dan pembangunan bercampur-campur,” katanya pada majlis berkenaan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, barisan Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Jaafar (Pengurus Besar PDC), Datuk Ir. Jauhari Hamidi (pemangku Pengarah Urusan Sime Darby) dan Mohd. Salem Kailany (Timbalan Presiden Kanan Sime Darby).

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, berdasarkan Pelan Induk Byram/Changkat, Sime Darby akan membangunkan 18.8 peratus dari keseluruhan tanah iaitu 929.8 ekar tanah untuk pembangunan PKS, manakala PDC akan membangunkan perindustrian berat, ringan, sederhana, PKS dan pembangunan bercampur melibatkan 4,017.4 ekar tanah atau 81.2 peratus.

“Kedua-dua pihak bertanggungjawab bagi permohonan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), manakala PDC pula akan melantik perunding Penilaian Kesan Trafik (TIA) dan kos akan dikongsi mengikut nisbah plot yang telah dieprsetujui,” jelasnya yang juga Pengerusi PDC.

Dalam pada itu, Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan Simbe Darby Berhad, Tan Sri Datuk Seri Mohd. Bakke Salleh menyatakan bahawa, pihaknya telah lama menyedari potensi SPS sebagai sebuah kawasan perindustrian perdana.

“Pihak kami amat berbesar hati dan yakin bahawa kita akan menyaksikan pertumbuhan pesat di kawasan tersebut dalam tempoh lapan tahun akan datang termasuk pembangunan kediaman, hospitaliti dan peluang pekerjaan yang akan memberi manfaat kepada Pulau Pinang secara keseluruhannya.

“Atas dasar inilah, kami membuat permohonan untuk melibatkan penukaran zon pertanian seluas 929.8 ekar tanah pertanian di Byram ke zon perindustrian berteknologi tinggi,” ujar beliau.

if (document.currentScript) {