Peguam Negara sedia jumpa jika 4 kes mati dalam lokap selesai – TKM II

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Rentetan enam kes kematian tahanan dalam lokap yang berlaku di Pulau Pinang, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy memaklumkan bahawa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail akhirnya bersetuju untuk mengadakan pertemuan dengan pihak Kerajaan Negeri bagi membincangkan hal tersebut.

Persetujuan itu dicapai setelah Ramasamy dan Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng mengutus surat kepada beliau berhubung hal berkaitan pada Jun lalu.

“Pada 29 Ogos lalu, Abdul Ghani telah membalas surat diutuskan Kerajaan Negeri dan menyatakan persetujuan untuk mengadakan pertemuan terbabit dalam tempoh masa terdekat, namun belum dipastikan tarikh yang sesuai.

“Walau bagaimanapun, Abdul Ghani menyatakan kita (Kerajaan negeri) perlu menunggu sehingga empat kes kematian dalam lokap yang belum selesai, diselesaikan terlebih dahulu.

“Justeru, saya merayu kepada Ketua Polis Negeri, Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi supaya memberi penjelasan dan menjalankan siasatan terperinci bagi memastikan perkara ini dapat diselesaikan dengan sempurna,” ujarnya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Terbaru, pada 28 September lalu, Pulau Pinang mencatatkan satu lagi kes kematian dalam tahanan iaitu di lokap Balai Polis Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU) di mana seorang tahanan dipercayai melompat dari tingkat satu dan mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Sebelum ini, terdapat enam kes sedemikian dilaporkan berlaku di lokap-lokap seluruh negeri ini pada tahun ini (sejak 10 Februari 2014). Satu kes lagi adalah membabitkan tahanan yang ditahan di lokap Bandar Perda sebelum dilaporkan meninggal dunia di PenjaraTapah pada 8 Mac 2014.

Mengulas lanjut, menurut Ramasamy, beliau bersama-sama pasukan ‘task force’ membabitkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) berhasrat melantik seorang pegawai sepenuh masa bagi membantu kes-kes seperti ini.

“Pegawai khas dilantik bakal membolehkan penumpuan sepenuhnya diberikan terhadap tugas ini termasuk menjalankan beberapa kajian lebih menyeluruh.