Pelaburan kilang emas di Taman Perindustrian Batu Kawan RM49.6 juta, umum Guan Eng

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Lima syarikat emas dan barangan kemas di bawah Penang Goldsmith Association (PGA) melabur RM49.6 juta di keseluruhan kawasan seluas 4.2 ekar Taman Perindustrian Batu Kawan (PKIP).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, lima syarikat berkenaan adalah G2 Gold (M) Sdn. Bhd. dengan pelaburan RM24.6 juta; Jin Huo Gold & Jewellery Industries (M) Sdn. Bhd. (RM12.5 juta); TC Success Jewellery Sdn. Bhd. (RM6.8 juta); TC Jewellery Sdn. Bhd. (RM2.9 juta) dan LKT Luck Sdn. Bhd. (RM2.8 juta).

“Pelaburan daripada lima syarikat ini akan mewujudkan 730 peluang pekerjaan sebagai tambahan kepada 8,000 profesional dalam industri berkaitan kini.

“Kerja-kerja pembinaan dijangka dimulakan pada pertengahan tahun ini atau awal 2018, bergantung kepada kelulusan daripada pihak berkuasa, dan kemudahan-kemudahan dijangka siap dalam tempoh satu tahun,’’ jelasnya sebelum memeterai perjanjian berwajib pada sidang media di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo antara pemimpin Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang yang menyaksikan pemeteraian perjanjian bersejarah itu.

Dalam perjanjian tersebut, Kerajaan Negeri diwakili Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar bersama-sama Penasihat PGA merangkap Pengarah Urusan TC Jewellery Sdn. Bhd., George Lo Siew Cheong.

Empat pihak lain yang turut menandatangani perjanjian berkenaan ialah Pengarah LKT Luck Sdn. Bhd., Tan Geng Seng; Pengarah TC Success Jewellery Sdn. Bhd., Lim Tong Kor; Pengarah Urusan Jin Huo Gold & Jewellery Industries (M) Sdn. Bhd., Chiah Hock Yew dan Pengarah G2 Gold (M) Sdn. Bhd., Lim Teik Peng.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan menyatakan bahawa, Pulau Pinang di kedudukan pertama dalam eksport emas dan barangan pada tahun 2016 dengan menyumbang RM6.1 bilion, menyamai 85 peratus berbanding RM7.2 bilion jumlah keseluruhan eksport komoditi negara.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, syarikat-syarikat dari Pulau Pinang berkenaan mengeksport logam barangan emas ke lebih 20 negara seperti Jepun, Amerika Syarikat, Jerman, Arab Saudi, Kanada, Hong Kong, Thailand, Filipina dan Singapura.

“Sektor pengilangan emas di Pulau Pinang wujud kira-kira 200 tahun lepas dan PGA yang ditubuhkan pada tahun 1832 merupakan salah sebuah persatuan paling tua di negeri ini.

“Pertumbuhan syarikat dalam industri emas dan barangan kemas memberi suatu lagi rangsangan kepada jenama ‘Powered in Penang’.

“Pulau Pinang sebagai negeri keusahawanan akan terus menjadi destinasi pilihan untuk pelaburan, sama ada industri tradisional atau perniagaan baru,” kata Guan Eng.