Pelaburan, P. Pinang lebih pentingkan kualiti – KM

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menegaskan bahawa Kerajaan Negeri lebih mementingkan kualiti pelaburan diterima berbanding kuantiti.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), bagi rekod tahun 2014 iaitu dari bulan Januari hingga September, Pulau Pinang berada pada kedudukan ketiga dengan nilai pelaburan RM6 bilion berbanding tempoh sama tahun 2013, RM3.912 bilion.

“Kita (Pulau Pinang) mencapai sedikit peningkatan berbanding tahun lepas, namun apa yang ingin saya nyatakan adalah Kerajaan Negeri lebih mementingkan kualiti dan kesesuaian sesebuah industri untuk melabur di Pulau Pinang.

“Sememangnya, Pulau Pinang sedikit ‘memilih’ untuk dipastikan pelaburan ke negeri ini punyai kualiti, insentif dan tambah nilai yang baik. Tidak ada gunanya jika Kerajaan Negeri mengaut banyak pelaburan sekiranya ianya (pelaburan) tiada potensi di sini,’’ jelas Guan Eng.

Menurutnya, tempat pertama bagi nilai pelaburan tertinggi bagi tahun 2014 adalah negeri Johor dengan jumlah RM20.1 bilion, Sarawak (kedua, RM10 bilion).