Pelaburan Regus simbol ekonomi Pulau Pinang berdaya saing – KM

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

GEORGE TOWN – Syarikat multinasional dari Belgium, Regus membuka pusat perniagaan ketiga di Pulau Pinang, iaitu dekat Menara Boustead di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika menyampaikan ucapan perasmian pembukaan ruang pejabat itu berkata, pelaburan Regus itu sekaligus menunjukkan ekonomi di negeri ini masih berdaya saing untuk sektor perniagaan khususnya berkaitan digital.

“Permintaan untuk ruang pejabat terutama bangunan berstatus MSC (Koridor Raya Multimedia) semakin meningkat di Pulau Pinang, hatta terus menarik lebih banyak pelaburan serta mengembangkan lagi aktiviti perniagaan,” jelasnya pada majlis berkaitan.

Menurut Guan Eng, sebelum ini, REGUS membuka pusat perniagaan sulung di Real Ideal Bayan Lepas, disusuli Regus Gurney Paragon, dengan rekod sewa huni kedua-dua pusat komersial itu sebanyak 98 peratus hingga 99 peratus.

“Penyewa utama (pusat komersial Regus) termasuk Swarovski, IBM, Agoda, Expedia, AIA dan CBRE,” ujarnya lagi sambil memberitahu bahawa Regus turut berhasrat membuka pusat perniagaan komersial keempat di Subterranean Penang International Conference & Exhibition Centre (SPICE).

Tambah Guan Eng, Pulau Pinang terus menjadi destinasi pilihan utama pelabur asing kerana dasar-dasar Kerajaan Negeri mengambil kira citarasa ekonomi global yang senantiasa berubah-ubah.

“Kerja secara fleksibel merupakan sohor kini yang kian meningkat, untuk menjalankan perniagaan.

“Dengan adanya solusi ruang pejabat daripada Regus, kami (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan) berharap PKS (perniagaan kecil dan sederhana) dan sektor perniagaan di Pulau Pinang dapat memanfaatkan pilihan kerja yang lebih fleksibel, demi meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi, pengeluaran serta mengelakkan kualiti tenaga (buruh) yang berbakat,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng sekali lagi memberitahu, pihaknya meramalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pulau Pinang bagi tahun 2017 sekurangkurangnya 6 peratus, berdasarkan prestasi pelaburan semasa yang begitu menggalakkan.

Hadir sama, Ketua Regus bagi Negara Malaysia, Indonesia dan Brunei, Vijayakumar Tangarasan.