Pelaburan RM1.05 bilion Seagate rangsang sektor pembuatan

GEORGE TOWN – Penyertaan Seagate ke Batu Kawan, Seberang Perai Tengah (SPT) dengan pelaburan semula sebanyak RM1.05 bilion selama lima tahun adalah dorongan bagi sektor pembuatan di Pulau Pinang walaupun pelaburan berkenaan masih belum direkodkan dalam angka pelaburan Lembaga Pelaburan Perindustrian Malaysia (MIDA).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Seagate adalah sebuah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat yang terlibat dalam industri penyimpanan data dan mengeluarkan cakera keras serta penyelesaian penyimpanan.

“Seagate telah ditubuhkan pada tahun 1979 dengan pejabat eksekutif utamanya di Cupertino, California. Seagate disenaraikan dalam bursa saham Nasdaq dan mempunyai lebih daripada 50,000 pekerja di seluruh dunia.

“Penang Seagate ditubuhkan pada tahun 1988, beroperasi dengan sebuah kilang pembuatan pemacu cakera keras (HDD) dan pusat sumber bersama teknologi maklumat (IT).

“Kerajaan Negeri sukacita apabila Seagate mengembangkan operasi mereka di Pulau Pinang dan telah memutuskan untuk menempatkan kemudahan baru mereka di Taman Perindustrian Batu Kawan, Seberang Perai, ” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Tambah Guan Eng, Penang Seagate Industries (M) Sdn. Bhd. akan membeli sebidang tanah 40 ekar dengan pilihan untuk membeli 30 ekar lagi di Taman Perindustrian Batu Kawan.

“Pembelian tanah ini adalah selaras dengan strategik model perniagaan/pelan Seagate untuk menyokong operasi jangka panjang mereka di Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri mengalualukan pelaburan baru Seagate ke Pulau Pinang yang bukan sahaja akan berfungsi sebagai rangsangan ekonomi bagi pertumbuhan sektor pembuatan, tetapi juga bakal menyokong Batu Kawan sebagai lokasi pilihan untuk melabur, bekerja, hidup, belajar dan berekreasi,’’ jelasnya.

Menurut beliau, walaupun Pulau Pinang berminat dalam mempromosikan sektor perkhidmatan dengan melancarkan inisiatif “Business Process Outsourcing – Information Communication Technology Hub (Hab BPO)” bernilai RM3.3 bilion pada 1 Mac lalu, negeri akan terus menyokong sektor pembuatannya bagi pertumbuhan yang menyumbang hampir 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pulau Pinang untuk lima tahun lepas. Sektor pembuatan yang kuat adalah syarat yang perlu bagi pertumbuhan sektor perkhidmatan dan Hab BPO.

“Keputusan Seagate untuk melabur semula di Pulau Pinang adalah rangsangan keyakinan yang kuat untuk inisiatif Kerajaan Negeri menyokong pertumbuhan ekonomi dengan menarik teknologi bernilai tinggi, canggih dan berpengetahuan intensif serta syarikat-syarikat berasaskan ICT yang boleh menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk penduduk tempatan.

“Pelaburan semula sebanyak RM1.05 bilion oleh Seagate selama lima tahun ini adalah satu pelaburan besar selepas Temasek menandatangani perjanjian usahasama untuk membangunkan Taman Industri Teknologi Tinggi di Batu Kawan dan Hab BPO di Bayan Baru bernilai RM11.3 bilion sebelum ini,’’ kata Guan Eng.