Pelaburan RM2 bilion bina hospital swasta terbesar negara cegah ‘brain drain’ di P. Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Pembinaan hospital swasta terbesar negara berhampiran Hospital Island yang sedia ada di Pulau Pinang membawa RM2 bilion pelaburan ke negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap pelaburan terbaru itu dapat mencegah ‘brain drain’ atau fenomena penghijrahan tenaga pakar perubatan tempatan ke luar negara yang dihadapi belakangan ini.

“Kita akan cipta 2,000 peluang pekerjaan mahir baharu, RM2 bilion pelaburan dengan nilai ekonomi kira-kira RM7 bilion dan yang paling penting adalah membina Pulau Pinang sebagai bandar perubatan.

“Ini adalah pelaburan bernilai tinggi… mencegah ‘brain drain’ daripada kalangan doktor, jururawat dan doktor pakar,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih dan Ahli Parlimen Bagan pada sidang media di sini 19 Mei lalu.

Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri era Barisan Nasional terdahulu direkodkan menjual tanah secara tender tertutup tanah seluas 980 ekar dekat Tanjong Tokong dengan harga RM42.7 juta atau RM1 sekaki persegi; 325 ekar untuk projek Jelutong Expressway (RM325 juta atau RM20 sekaki persegi); 750 ekar tanah kepada Abad Naluri di Batu Kawan (RM106 juta atau RM3.24 sekaki persegi) dan 1,606 ekar kepada Rayston Consortium Sdn. Bhd. di Butterworth (RM584.9 juta atau RM8.40 sekaki persegi).

“Manakala, Kerajaan Negeri hari ini sejak tahun 2008 direkodkan menjual secara tender terbuka tanah seluas 1.1 ekar di Jalan Zainal Abidin dekat Taman Manggis dengan harga RM10.2 juta atau RM232 sekaki persegi dan 105 ekar tanah di Bayan Mutiara (RM1.1 bilion atau RM240 sekaki persegi).

Rujuk lampiran A. “Pulau Pinang menjual tanah 36 kali kurang daripada BN, tetapi mendapat lebih banyak wang kerana Pulau Pinang menjalankan tender terbuka awam,’’ jelasnya.