Pelan Pengurusan Bencana Seberang Perai MPSP, pastikan kesiapsiagaan hadapi bencana masa hadapan

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng diiringi Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow baru-baru ini melancarkan Pelan Pengurusan Bencana Seberang Perai, serentak dengan penganjuran Jamuan Penghargaan Kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Paca Banjir di sini.

Bercakap kepada pemberita, Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa pelan tersebut adalah terdiri oleh tiga komponen utama iaitu Pelan Pengurusan Risiko Bencana, Pelan Pengurusan Krisis dan Pelan Pengurusan Pemulihan Bencana.

“Menerusi pengalaman menghadapi bencana pada 4 November lalu, kita (MPSP) telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan pelan ini.

“Pelan ini merupakan langkah pertama ke arah memastikan kesiapsiagaan Seberang Perai menghadapi bencana pada masa hadapan,” jelasnya selepas majlis penghargaan tersebut di Auditorium Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda.

Menurut Rozali, pelan berkaitan juga menggariskan beberapa cadangan dalam Pelan Strategik Seberang Perai yang akan dilaksanakan pada tahun 2018, iaitu penubuhan Community Emergency Response Team (CERT) serta Seberang Perai Humanitarian, Emergency and Risk Reduction Efforts Spears (SPHERE).

Tambah beliau, di bawah Pelan Pengurusan Risiko Bencana umpamanya diperjelaskan tindakan-tindakan yang perlu diambil sebelum berlakunya bencana, iaitu pencegahan dan peredaran (mitigation), kesiapsiagaan (preparedness) dan sistem amaran awal (Early Warning System).

“Keseluruhan pelan pengurusan bencana ini adalah mengenai tindakan sebelum, ketika dan pasca terjadinya bencana.

“(Early Warning System) ini adalah untuk kegunaan (jabatan) dalaman MPSP sahaja, dan tidak akan berlaku pertindihan dengan jabatan teknikal luaran membabitkan Bomba, APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia), MET Malaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) atau sistem aplikasi pintar (yang mungkin akan) dibangunkan oleh Kerajaan Negeri sendiri,” jelasnya. Ketua Unit Skuad Khas MPSP, Ahmad Zabri Mohamed Sarajudin turut sertai sidang media berkaitan.