Pembangunan kerajaan mesti dan perlu dapat dirasai semua rakyat terutama di luar bandar, kampung

Admin

PADANG LALANG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pembangunan kerajaan mesti dan perlu dapat dirasai semua rakyat terutama di kawasan luar bandar dan kampung-kampung tradisional.

 

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini 28 Mei lalu.

 

“Pembangunan ini boleh dinikmati, bukan ‘dari atas ke bawah’, tapi ‘dari bawah ke atas’, yang mana masyarakat luar bandar dan kampung juga adalah jentera yang menyumbang kepada ekonomi negeri

 

“Membawa pembangunan ke akar umbi rakyat diperlukan, kerana sekarang dari peringkat JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti) sehinggalah ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) serta pejabat daerah mempunyai tanggungjawab yang lebih, kerana kita juga akan melaksanakan projek-projek Persekutuan di negeri ini,” jelas beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Penerangan.

 

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota sekali lagi menegaskan tumpuan pentadbirannya antara lain adalah menjadikan Seberang Perai sebagai masa depan pembangunan ekonomi Pulau Pinang.

 

Sebelum itu, Pegawai Daerah, Mohd. Ali Sebran memberi taklimat khas mengenai hal pentadbiran, hasil serta program pembangunan di peringkat SPT.

 

Beliau turut menjelaskan bahawa sejak 2013, seramai 351,105 penerima menikmati pelbagai sumbangan tunai daripada Kerajaan Negeri, di bawah Program Emas, keseluruhan agihan berjumlah RM30,382,470.

 

Exco Kesihatan, Pertanian & Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Afif Bahardin yang juga ADUN Seberang Jaya; Exco Pembangunan Wanita & Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam merangkap ADUN Padang Lalang, Chong Eng dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar antara wakil rakyat yang sertai majlis taklimat itu.