Pembinaan gelanggang sepak takraw bantu lahir pelapis berbakat

BATU UBAN – Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), A. Kumaresan berharap Kerajaan Negeri dapat membina gelanggang sepak takraw di negeri ini sebagai galakan kepada golongan belia untuk menceburi bidang sukan tersebut.

Menurut beliau, inisiatif itu juga adalah seiring dengan usaha untuk melahirkan lebih ramai pelapis pada masa hadapan.

“Diharap Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan cadangan ini dan dengan adanya gelanggang ini, penganjuran kejohanan sepak takraw dapat dijalankan dari semasa ke semasa demi pembangunannya pada masa depan,’’ ujarnya pada Kejohanan Terbuka Sepak Takraw Ahli Majlis MBPP 2017 anjurannya di Kompleks Sukan & Belia Batu Uban di sini 5 Mac lalu.

Hadir menyempurnakan majlis perasmian, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon.

Penganjuran julung kali berkaitan menerima penyertaan memberangsangkan apabila sebanyak 60 pasukan dari dalam dan luar negeri termasuk Terengganu, Selangor dan Perlis berentap untuk merebut gelaran.

Pasukan Fly Boy’s diumumkan sebagai juara sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 beserta piala pusingan dan medal.

Naib johan menjadi milik pasukan ISTC dengan hadiah wang tunai RM1,000 beserta medal, manakala tempat ketiga (Batu Uban & Warisan AZ, RM500 dan medal).