Pembukaan kedua UST Global, bukti Pulau Pinang destinasi menarik GBS – KM

PANTAI JEREJAK – Penyediaan penyelesaian teknologi maklumat (IT) dan kejuruteraan terkemuka, UST Global yang berpengkalan di Aliso Viejo, California, Amerika Syarikat menyasarkan pertumbuhan signifikan di negeri ini dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan pembukaan kedua syarikat tersebut di sini baru-baru ini.

Country Head Malaysia, Amar Chhajer berkata, UST Global bagi syarikat Fortune 500 dan Global 1000 berkaitan sedang berusaha
mendapatkan lebih 1,000 pekerja dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Kami komited membangunkan bakat-bakat inovatif, pengurusan dan pengambilan lebih ramai pekerja di Pulau Pinang.

“Dengan pengembangan ini,  diharap mewujudkan kondisi kerja yang bukan sahaja melibatkan pekerja, malah juga membantu
meningkatkan kecekapan operasi firma yang akan memenuhi keperluan pelanggan UST Global melalui perkhidmatan khusus serta
penyelesaian keupayaan terbaik,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Bangunan Cawangan Kedua UST Global di
Bayan Baru di sini.

Hadir menyempurnakan majlis, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Ketua Pegawai Eksekutif investPenang (iP), Dato’ Loo Lee Lian, Jaffri Ibrahim (Ketua Pegawai Eksekutif CREST) dan Gilroy Mathew (Pengurus Besar APAC, UST Global) turut serta.

Mengulas mengenai pembukaan baharu tersebut, Guan Eng menyatakan bahawa keputusan UST Global memilih Pulau Pinang
menunjukkan kejayaan negeri sebagai sebuah destinasi menarik bagi pelaburan Sektor Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS).

“Ini adalah bukti KerajaanNegeri menjalankan tadbir urus baik, mempunyai hab logistik cekap, rantaian bekalan kompeten, infrastruktur komunikasi yang baik, ruang perniagaan sesuai serta bangunan dan ketersediaan bakat mahir…semuanya terdapat di bandar pintar bertaraf antarabangsa,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Menurut Guan Eng, dalam tempoh 12 tahun sejak Pulau Pinang dianugerahkan status MSC Malaysia Cybercity pada 2005, Penang
Cybercity telah mewujudkan lebih daripada 200 syarikat berstatus MSC dan lebih 10,000 pekerjaan bernilai tinggi.

“Kita (Pulau Pinang) bangga bahawa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menerusi Malaysia Investment Performance 2016 telah menyenaraikan Pulau Pinang sebagai pelaburan kedua terbesar bagi Pertumbuhan Global Untuk Perkhidmatan atau Hub Utama dengan nilai pelaburan sebanyak RM4.1 bilion, selepas Kuala Lumpur,” jelas beliau.