Pembukaan kemudahan ketiga Benchmark Facilities dipandu persekitaran kondusif, mesra perniagaan

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

BATU MAUNG – Benchmark Electronics (Benchmark) iaitu sebuah syarikat perkhidmatan berasaskan kejuruteraan dan pembuatan yang berpusat di Arizona, Amerika Syarikat melancarkan fasiliti ketiganya di sini dengan nilai keseluruhan pelaburan sebanyak RM300 juta sejak 2007.

Majlis perasmian kemudahan baharu tersebut disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini.

Naib Presiden merangkap Pengurus Besar Benchmark, Dr. Bala Murugan berkata, kemudahan terkini yang telah mula beroperasi tahu lalu (2017) adalah satu-satunya kelengkapan pihak berkaitan secara global yang menyediakan penyelesaian lengkap di bawah satu lokasi.

“Ia termasuk pembuatan elektronik, pengilangan komponen mekanikal, ujian peralatan model kompleks, pusat merekabentuk dan pusat perolehan antarabangsa.

“Malah, Benchmark juga merupakan satu-satunya syarikat perkilangan yang mempunyai semua perkhidmatan sedemikian di negeri ini,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pembukaan Fasiliti Ketiga Benchmark bertempat di Zon Perindustrian Bebas (FIZ) Fasa 4.

Malah, menurut Bala, pertumbuhan syarikat tersebut yang mula bertapak di Pulau Pinang sejak tahun 2007 dipandu oleh persekitaran kondusif, mesra perniagaan dan cekap yang diberikan oleh pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Urus tadbir yang berwibawa, bertanggungjawab dan telus telah membolehkan syarikat multinasional seperti kami beroperasi dengan lebih berkesan di Pulau Pinang tanpa rasa takut atau curiga,” jelasnya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) dan Ketua Pegawai Eksekutif Benchmark, Paul Tufano.

Dalam pada itu, Guan Eng dalam ucaptama perasmiannya memberitahu, Pulau Pinang baru-baru ini telah dinobatkan sebagai Hab Pembuatan Perkakasan Serantau dan Lembah Silikon Asia seterusnya oleh pihak British Broadcasting Corporation (BBC).

Katanya, untuk menjadikan perkara tersebut suatu kenyataan, Kerajaan Negeri kini memfokuskan kepada lima teras utama.

“Pertama adalah membangunkan bakat manusia terutamanya dalam bidang STEM (Sains, Kejuruteraan, Bahasa Inggeris dan Matematik) dan berharap ia dapat dimajukan kepada STEAM pada masa depan iaitu A mewaliki arts (kesenian).

“Kedua, membangunkan infrastruktur iaitu bukan sahaja menaik taraf komunikasi, malah juga penyambungan digital.

“Ketiga, urus tadbir cekap dan pemimpin yang bersih, diikuti dengan mewujudkan bandar berdaya huni serta menggalakkan hubungan 4P (Public, Private, People and Professional Partnership),” ujarnya.