Pemeriksaan berterusan, tahap kebersihan premis makanan meningkat

Admin

PADANG KOTA – Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ong Ah Teong memaklumkan bahawa hasil daripada pemeriksaan premis makanan secara berkala dan sistem penggredan yang diperkenalkan ia, telah berjaya meningkatkan tahap kebersihan premispremis makanan di sini kini.

Menurut beliau, perbandingan tersebut dapat dilihat sejak tahun 2013 hingga 2016 yang mana premis yang mendapat Gred A serta B semakin bertambah, manakala bagi Gred C, markah 50 ke bawah serta gagal mencatatkan penurunan.

“Pada 2013, cuma 230 premis sahaja mendapat Gred A. Tahun lalu (2016) menunjukkan peningkatan apabila sejumlah 323 premis memperoleh penggredan A.

“Bagi Gred B, tahun 2013 (509 premis), 701 premis (2016).

“Pada tahun 2013, sebanyak 22 premis dikategorikan sebagai gagal dan jumlah tersebut telah berkurangan tahun lalu (2016) kepada sembilan premis sahaja.

“Ini jelas menunjukkan hasil daripada pemeriksaan yang sering dijalankan oleh MBPP, sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada peniaga untuk meningkatkan kebersihan premis masing-masing,” ujarnya pada satu sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, barisan Ahli Majlis MBPP, Gan Ay Ling dan Tan Chiew Choon.

Mengulas lanjut, Ah Teong memaklumkan bahawa, MBPP kini dalam proses mengkaji semula Undang-undang Kecil Establishmen Makanan MPPP 1991 bagi memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) menutup premis yang didapati kotor.

“Premis yang gagal dan kotor hanya boleh diarahkan tutup oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bagaimanapun, MBPP faham bahawa KKM juga terikat dengan penugasan lain dan operasi secara bersama kadangkala tidak dapat dijalankan. Justeru, adalah lebih baik jika MBPP sendiri mempunyai kuasa tersebut.

(Dari kanan), TAN Chiew Choon, Ong Ah Teong dan Gan Ay
Ling menunjukkan dokumen berkaitan pada sidang media
di sini baru-baru ini.

“Malah, berdasarkan statistik pada tahun 2016, tiada kedai yang ditutup kerana tiada operasi bersepadu dapat dijalankan oleh MBPP dan KKM,’’ jelasnya yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam MBPP.

Bagi meningkatkan aspek kebersihan premis, orang ramai boleh memuat naik aplikasi BetterPenang atau emelkan aduan ke [email protected] atau terus menghubungi Bahagian Perlesenan MBPP di talian 04 – 263 8818.