Pemeteraian usahasama, bukti P. Pinang terus tarik kemasukan pelabur – Kah Choon

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Pulau Pinang masih lagi kekal menjadi salah sebuah lokasi utama pilihan pelabur di Malaysia khususnya dalam sektor perkhidmatan perniagaan global (GBS) membabitkan aktiviti penyumberan luar perkongsian perkhidmatan (SSO).

Pengarah investPenang, Datuk Seri Lee Kah Choon berkata, lebih 50 syarikat asing dan tempatan menjalankan pelbagai aktiviti SSO yang terdiri daripada penyumberan luar proses perniagaan (BPO), penyumberan luar teknologi maklumat (ITO) dan penyumberan luar proses pengetahuan (KPO).

“Syarikat-syarikat berkaitan terlibat dalam pelbagai lapangan antaranya, teknologi maklumat, pembangunan perisian, perbankan dan kewangan, pembangunan proses reka bentuk dan lain-lain.

“Selain itu, pembangunan unitunit kediaman masih lagi rancak di negeri ini, sungguhpun terdapat laporan yang cuba memburuk-burukkan negeri ini dengan menyatakan bahawa pelabur hilang keyakinan terhadap Pulau Pinang.

“Lagipun, pernahkah anda (wartawan) dengar tentang pengangguran yang sangat banyak…massive unemployment in Penang?

Sebaliknya, kita di Pulau Pinang kekurangan sumber tenaga manusia,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Kah Choon memberitahu, melalui sektor GBS dan SSO sahaja, kira-kira 8,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi ditawarkan sehingga akhir tahun 2015.

Kini, katanya, Pulau Pinang masih lagi memerlukan sumber tenaga manusia mahir dan separa mahir dengan jangkaan 2,800 peluang pekerjaan ditawarkan untuk tiga tahun akan datang.

Ulas Kah Choon, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kini sedang menaik taraf Mayang Mall di Bayan Baru dalam usaha mengembangkan lagi sektor GBS ini.

“Kilang-kilang pembuatan dan pengeluaran di Pulau Pinang juga masih lagi beroperasi dan Pulau Pinang sebagai salah sebuah negeri industri di Malaysia pastinya tidak terlepas dari situasi ekonomi global, cuma kesannya tidaklah seperti yang didakwa oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman baru-baru ini.

“Kenyataan beliau seolaholah pelabur hilang keyakinan untuk terus melabur di Pulau Pinang sedangkan hakikatnya, Pulau Pinang masih kekal sebagai destinasi unggul pelabur.

“(Dan) Pulau Pinang ‘cuba’ sebaik mungkin untuk kekal di tahap sedia ada dan sedia berhadapan dengan cabaran ekonomi dunia tidak menentu termasuk berita-berita yang kurang menyenangkan,” ujarnya yang merujuk kepada laporan berita yang cuba memburukkan imej negeri ini.

Kah Choon dalam pada itu menyambut baik usahasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemaju EcoWorld Development Group (EcoWorld) membangunkan dua bandar baru membabitkan kawasan seluas 152 hektar di Batu Kawan dengan nilai pembangunan kasar keduaduanya mencecah RM7.8 bilion.

“Saya tidak lihat pun situasi pelabur hilang keyakinan terhadap Pulau Pinang apabila KWSP dan EcoWorld memeterai usahasama membangunkan Batu Kawan…hal ini membuktikan Pulau Pinang terus menarik kemasukan pelabur,” katanya.