Penang Bike Week kumpul dana kebajikan

Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Lebih 250 penunggang motosikal berkuasa tinggi berkampung di perkarangan sebuah hotel di sini selama tiga hari mulai 4 Jun lalu bagi menjayakan program Penang Bike Week Ke-8 2015.

Acara pelepasan bendera konvoi kebajikan penganjuran berkaitan disempurnakan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

“Selepas tujuh tahun berturut-turut ‘Penang Bike Week’ ini diadakan di bahagian pulau, acara tahunan kali kelapan ini bukan sahaja dianjurkan di tanah besar Seberang Perai, bahkan di Seberang Jaya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya di sini baru-baru ini.

Justeru, beliau berkata pihaknya berharap lebih banyak program kebajikan seumpama itu dianjurkan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) berkenaan.

Sebelum itu, Presiden Penang Bike Week 2015, Abdul Rahim Ahmad memberitahu, program tersebut bukan sahaja untuk menghimpunkan para penunggang motosikal berkuasa tinggi, bahkan untuk mempopularkan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan bermotor.

“Kita juga nak menyuburkan kesedaran pripenting keselamatan untuk penunggang pelbagai kategori.

“Sebenarnya, lebih 1,500 penunggang yang menyertai program amal ini secara langsung atau tidak langsung dari negeri lain dan negara jiran, seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.

“Dengan ini, kita harap kempen mengumpul dana kebajikan yang diadakan dalam penganjuran selama tiga hari ini (5 hingga 7 Jun 2015) dapat membantu keluarga yang memerlukan serta orang kurang upaya (OKU) sekitar (Parlimen) Bukit Mertajam dan Rumah Anak Penyayang di Pulau Pinang,” ujar Abdul Rahim dalam kenyataan bertulisnya kepada wartawan.