Pencapaian Kerajaan Negeri selama ini mampu jadikan Pulau Pinang negeri mampan menjelang 2030 – KM

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALVIE CHENG

GEORGE TOWN – Dalam merealisasikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri pintar dan mampan, gerak kerja badan-badan berkepentingan di negeri ini perlu meletakkan misi serta visi selaras dengan hasrat tersebut, kata Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng ketika berucap pada penganjuran Simposium Pulau Pinang Negeri Mampan baru-baru ini.

Guan Eng yang hadir menyempurnakan majlis perasmian penganjuran berkaitan percaya dalam Revolusi Industri 4.0, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing sekaligus menguasai peredaran era.

“Sekarang ini, kita berada dalam Revolusi Industri 4.0 yang mana analisis data menjadi kunci kepada semua sistem kehidupan manusia sehari-hari.

“(Dan) dengan data jugalah kita dapat melihat kejayaan inovasi seperti Uber atau Grab, yang mana syarikat tersebut tidak memiliki sebuah teksi pun, tetapi menggunakan aplikasi data yang boleh diakses seluruh dunia menggunakan telefon pintar, syarikat tersebut berjaya.

“Begitu juga syarikat perhotelan terbesar, AirBnB yang tidak memiliki hotel, tetapi mempunyai ramai pengguna yang menggunakan aplikasi mereka untuk mencari penginapan.

Umumnya, syarikat-syarikat seperti ini menjana keuntungan yang besar hasil analisis data,” ujarnya di hadapan kira-kira 200 peserta di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; barisan Exco Kerajaan Negeri; Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri, Dato’ Anas Ahmad Zakie; Ahli-ahli Lembaga Pengarah Penang Green Council (PGC), Datuk Dr. Leong Yueh Kwang serta Lawrence Lim Hua Kwang; Pengurus Besar PGC, Thing Siew Shuen dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan
Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa.

Apabila diajukan soalan, ‘Mampukah Pulau Pinang Menjadi Negeri Mampan Pada Tahun 2030?, Guan Eng yakin pencapaian Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang selama ini mampu merealisasikan matlamat berkenaan.

“Antara kejayaan 10 tahun Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang boleh dibanggakan adalah berjayanya program Hari Tanpa Beg Plastik Percuma; tahap kitar semula tertinggi iaitu 38 peratus berbanding kadar nasional, 22 peratus; tidak meneroka hutan simpan sebaliknya menanam 271,000 batang pokok; memboikot hidangan sup atau makanan berasaskan sirip ikan yu dalam majlis rasmi Kerajaan Negeri dan lain-lain.

“Kita di Pulau Pinang dalam pada itu juga menekankan strategi penglibatan komuniti bagi memastikan tiada rakyat terpinggir dalam arus pembangunan selari dengan program United Nations Sustainable Development Goals (UNSDGs) iaitu menjadikan negeri ini sebagai negeri hijau dan mampan,” jelasnya.