Penduduk Flat Desa Mawar nikmati lif baharu

AIR ITAM – Cadangan penyelesaian akan dikenal pasti bagi mengatasi masalah kemudahan fasiliti di Flat Desa Mawar di sini.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB) Flat Desa Mawar bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi penduduk membabitkan enam blok kawasan berkenaan terutamanya melibatkan pam air dan lif.

Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya akan cuba membantu sedaya yang mungkin.

“Saya telah meminta JMB membuat semakan dan pemantauan sekiranya mana-mana blok di sini menghadapi masalah pam air yang rosak.

“Masalah utama seperti pam air dan lif uzur adalah dua masalah utama yang perlu ditangani segera, jika tidak, ia akan menganggu dan mendatangkan masalah kepada penduduk.

“Saya akan cuba lihat bagaimana untuk membantu masalah ini,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Lif Baru Blok 1, Flat Desa Mawar di sini baru-baru ini. Kos keseluruhan penukaran lif baharu tersebut mencecah RM226,840.

Melalui peruntukan Tabung Penyelenggaraan Maksima 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP), Kerajaan Negeri telah menyalurkan dana sejumlah RM181,472, manakala bakinya, 45,368 disumbang Hon Wai daripada peruntukan Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam.

Difahamkan, tahun lalu Hon Wai turut menjalankan kerja-kerja pengecatan semula keseluruhan tembok flat tersebut yang telah usang dan menukar baharu pam air rosak di Blok 3.