Penduduk Kg. Ceti terima pampasan rumah di lokasi asal

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

TANJUNG BUNGA – Semua 350 keluarga Kampung Ceti, Batu Feringghi yang mana lokasi tersebut bakal dibangunkan kelak bersetuju menerima tawaran pemaju dengan pemberian sebuah rumah kos sederhana rendah.

Kenyataan tersebut dinyatakan Exco Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo pada sidang media Upacara Meredah Api di Kuil Arulmigu Sree Bathrakaliamman di sini baru-baru ini.

Katanya, Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri bertindak sebagai orang tengah bagi memastikan kata putus dan situasi menang-menang antara semua keluarga terlibat (yang perlu berpindah) bersama-sama pihak pemaju.

“Surat perjanjian pampasan turut dipersetujui dan telah ditandatangani penduduk-penduduk sebelum ini,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis tersebut, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Pada upacara berkenaan, Jagdeep turut menyampaikan hamper berupa barangan keperluan kepada 100 penduduk kurang bernasib baik.

Tambah beliau, sebagai Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab terhadap kebajikan rakyat, pihaknya juga akan memastikan pampasan yang dijanjikan pemaju akan sampai ke tangan penduduk asal kampung terbabit.

“Unit-unit rumah pampasan kepada penduduk turut akan didirikan di atas tapak asal kini iaitu di Kampung Ceti.

“Pengosongan tapak Kampung Ceti akan dilakukan sebaik sahaja para penduduk menerima notis berpindah daripada pihak peguam pemaju,’’ jelas beliau.