Penduduk & MPSP gotong-royong basmi denggi

Oleh : N O R S H A H I D A YUSOFF

Gambar : J. PATMAVATHY

PERAI – Sebagai usaha membendung penularan penyakit denggi, kira-kira 150 penduduk Taman  Kimsar mengambil inisiatif melibatkan diri dalam program gotong-royong membersihkan kawasan perumahan tersebut di sini barubaru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Chai Leng, M. Turaisingam yang mengetuai program berkaitan berkata, penganjuran tersebut adalah hasil kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bersama-sama pihaknya.

“Ia bertujuan memastikan kawasan kediaman ini bebas lokasi pembiakan nyamuk aedes ekoran laporan lima kes di sini sebelum ini.

“Justeru, aktiviti seperti ini dapat membantu mendidik penduduk agar menjaga kebersihan persekitaran bagi membanteras penyakit maut ini,” ujarnya pada Majlis Gotong-royong Taman Kimsar di sini baru-baru ini.

Gotong-royong pada hari tersebut melibatkan pembersihan di sekitar kawasan kediaman, saluran air serta kawasan belukar berdekatan.