Penerbangan terus Doha – Pulau Pinang, hadiah Deepavali paling bermakna

BUKIT TAMBUN – Cadangan syarikat penerbangan antarabangsa Qatar Airways untuk melakukan penerbangan terus Doha – Pulau  Pinang disifatkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sebagai satu hadiah istimewa sempena sambutan Deepavali tahun ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamay di sini 18 Oktober lalu.

“Saya difahamkan Pulau Pinang dipilih sebagai destinasi penerbangan terus berkaitan adalah berdasarkan ‘kemegahan alam semula jadi’ (negeri hijau) serta syurga makanan yang lazat negeri ini.

“Penerbangan ini dijangka akan dimulakan pada 6 Februari 2018.

“Bagi saya, ini satu lembaran yang baru untuk Pulau Pinang kerana ianya bakal memudahkan perjalanan ke Eropah tanpa melalui Kuala Lumpur lagi,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Tambah Guan Eng, beliau turut difahamkan bahawa jadual  perjalanan yang dicadangkan adalah tiga kali seminggu.

“Dengan ini, kita (Kerajaan Negeri) berharap banyak lagi syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa yang akan melakukan penerbangan terus ke Pulau Pinang,” katanya.

Pada majlis rumah terbuka berkaitan, Guan Eng turut mengambil kesempatan beramah-mesra bersama-sama para tetamu sambil menikmati sajian tradisional yang disediakan.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Speaker DUN, Dato’ Maktar Shapee; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Turut memeriahkan majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Swee Khim; ADUN Jawi, Soon Lip Chee, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dato’ Mansor Othman; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Farizan Darus; Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ahli-ahli Majlis bagi MPSP, M. Satees, David Marshall serta H’ng Mooi Lye dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa.

Sementara itu, Guan Eng dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri turut mengadakan kunjungan ke rumah terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan yang diadakan pada hari sama.

Antara aneka juadah enak disediakan temasuklah nasi beriyani, masala kambing, maruku, dalca, ayam merah, sayuran, tosei, roti canai, teh tarik masala dan pelbagai lagi.