Pengecualian, tiada syarikat insurans sedia polisi perlindungan – Ahli Majlis

PADANG KOTA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) baru-baru ini menetapkan pengusaha basikal sewa di sekitar Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town dikecualikan daripada mengambil polisi insurans pelindungan penyewa basikal.

Mengulas lanjut, Ahli Majlisnya, Ong Ah Teong berkata, pengecualian tersebut adalah kerana setakat ini tiada syarikat insurans menawarkan polisi servis sebegitu.

Tambah beliau, langkah pengecualian itu juga mengambil kira rayuan para pengusaha basikal sewa kepada MBPP sebelum ini.

“Setelah dikaji dan disiasat, memang kita (MBPP) dapati tiada satu pun syarikat insurans yang menyediakan perlindungan insurans, terutamanya kepada pelancong yang menyewa basikal daripada pengusaha-pengusaha terlibat.

“Jadi, kita (MBPP) bersetuju untuk tidak mewajibkan perkara tersebut seperti yang kita (MBPP) syaratkan sebelum ini,” katanya pada satu sidang media sejurus tamat Mesyuarat Biasa Majlis Bil. 08 Tahun 2017 dekat Dewan Bandaraya, Padang Kota di sini baru-baru ini.

Susulan itu, Ah Teong memberitahu, MBPP bersetuju mengekalkan kadar biasa bagi lesen perniagaan sewaan basikal pada kadar biasa RM240 setahun.

“Sebelum ini, kita (MBPP) memberi cadangan lesen perniagaan basikal dinaikkan.

“Namun, mereka (pengusaha) merayu agar dikenakan kadar biasa memandangkan ianya bukanlah satu perniagaan yang menjana keuntungan yang besar,” jelasnya.