Penjaja mangsa ribut terima bantuan khemah jaja segera

Admin

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB

PENAGA – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon menyatakan bahawa pemberian bantuan segera berupa khemah jaja dapat meringankan ujian hidup 12 mangsa yang terlibat dalam kejadian ribut dekat Pasir Gebu di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penaga baru-baru ini.

Sebelum Hari Raya Aidilfitri, beliau berharap, urusan pembayaran pampasan sehingga kadar maksimum RM5,000 menerusi dana Tabung Bencana TYT, kepada semua mangsa kira-kira 180 pihak dapat diselesaikan.

“10 khemah kita serah kini kepada penjaja yang terlibat dalam kejadian ribut, manakala dua khemah di bawah peruntukan MMK Keusahawanan turut disumbangkan.

“Sebenarnya, yang turut mengalami kerosakan akibat bencana ribut ini juga adalah rumah-rumah penduduk, kira-kira 180 pihak.

“Dari dana Tabung Bencana TYT, maksima yang boleh dituntut adalah sebanyak RM5,000 dan ia bergantung pada (proses) taksiran (kerugian bencana), dan saya minta proses ini dipercepatkan kerana Hari Raya Aidilfitri,” katanya yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat, semasa melawat kawasan bencana serta menyampaikan bantuan segera berkenaan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Bertam, Asrol Sani Abdul Razak.

YUSOF SAARI, 47, penjaja ayam siap proses merupakan antara mangsa kejadian ribut pada 12 Jun lalu, kira-kira 4.30 pagi di sini.

Ditemui kemudian, mangsa terbabit memberitahu, beliau menganggarkan kerugian termasuk kemusnahan khemah adalah kira-kira RM1,500.

“Sejurus kejadian, pegawai telahpun membuat taksiran (kerugian akibat bencana ribut).

“Pemberian khemah oleh Dato’ TKMI (Mohd. Rashid) tentulah begitu banyak membantu saya menjaja dalam beberapa hari Ramadan ini, di samping buat persiapan raya,” ujarnya sambil memuji pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini.