Penjawat awam perlu tunjuk keghairahan, kesungguhan dalam tugasan – KM

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyeru semua anggota perkhidmatan awam supaya menjalankan tanggungjawab dengan penuh kesungguhan dan keghairahan bagi menghasilkan prestasi kerja yang baik.

Katanya, sumbangan penjawat awam adalah penting dalam menjayakan agenda pembangunan negeri, justeru setiap anggota perkhidmatan awam perlu memberikan sumbangan penuh tanggungjawab dan amanah serta ‘ghairah’ dalam melakukan kerja.

“Sekiranya anda (penjawat awam) tidak ghairah dalam berkerja, susah untuk anda menjalankan kerja.

“Keghairahan dalam kerja adalah penting, sekiranya ini (keghairahan) tak ada, maka susahlah untuk melihat prestasi.

“Mengikut Prinsip Pareto, dalam apa jua bidang, biasanya 80 peratus kerja ataupun sumbangan dibuat oleh 20 peratus pekerja sahaja.

“Saya percaya konsep ini kalau kita nilai dan ukur pun terpakai juga dalam perkhidmatan awam. Dan inilah yang cuba kita ubah, sekiranya prestasi yang kita lihat hari ini disumbangkan oleh 20 peratus pekerja, maka kita perlu perbanyakkan lagi penggerak.

“Dan inilah skim yang telah dirangka oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, iaitu kita mahu semua penjawat awam menjadi pekerja baik, dengan ‘kehadiran’ sebagai perkara paling asas yang perlu dipatuhi,” ucapnya pada Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Bersama-sama Ketua Menteri sambil merujuk kepada syarat-syarat
dikenakan bagi melayakkan seseorang penjawat awam negeri menerima tambahan Bantuan Khas Kewangan (BKK)
sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 0.25 bulan gaji yang diumumkan Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.

Pada 9 Jun lalu, Kerajaan Negeri telah bersetuju meluluskan bayaran BKK berjumlah 0.75 bulan gaji atau minimum
RM1,000 kepada semua anggota perkhidmatan awam negeri. Bayaran BKK dipecahkan kepada dua, iaitu 0.5 bulan gaji kepada semua penjawat awam yang tiada rekod displin.

Manakala, tambahan 0.25 bulan gaji akan diberikan kepada mereka yang mempunyai prestasi memuaskan seperti tidak mengambil cuti sakit swasta melebihi satu hari, kad perakam waktu kekal berwarna kuning untuk tempoh enam bulan dan tidak diluluskan Cuti Sakit Tambahan dari tempoh 1 Januari sehingga 15 Jun 2017.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), barisan Exco-exco Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri), Sarul Bahiyah Abu (Pegawai Kewangan Negeri), Datuk Anas Ahmad Zakie (Penasihat Undang-Undang Kerajaan
Negeri), Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ketua-ketua Jabatan.

Guan Eng dalam pada itu turut memuji sistem pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUKPP) di bawah
kepimpinan Farizan yang berjaya meneruskan kecemerlangan dengan memperoleh pelbagai anugerah.

Malah, ucapan tahniah tersebut turut dipanjangkan kepada agensi dan jabatan negeri yang telah berjaya memperoleh Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti Tahun 2016 dengan pengiktirafan lima dan empat bintang melalui audit yang dijalankan oleh Jabatan Audit Negara tahun lalu.

Sementara itu, Farizan dalam ucapannya turut menyeru para penjawat awam agar terus menyemarak dan melaksanakan tanggungjawab berlandaskan prinsip SIKAP (Skill, Integrity, Knowledge, Attitude, Procedure) dan menterjemahkan ibadah puasa ke dalam pekerjaan harian.

“Apa salahnya kita (penjawat awam) menterjemahkan prinsip berpuasa yang sedang dijalani sekarang ke dalam kerja seharian kita dalam usaha memikul tanggungjawab yang perlu dilakukan.

“ Lakukan tugas dengan penuh tanggungjawab, disiplin serta komitmen tanpa melanggar peraturan yang boleh menyebabkan kecacatan pada tugas kita sebagaimana kita tidak lakukan perkaraperkara yang boleh membatalkan puasa.

“Begitu juga seperti mana kita menepati waktu untuk berbuka (puasa), maka para penjawat awam juga semestinya menepati SOP (Tatacara Pengendalian Piawai), Aku Janji dan sebagainya sebagai anggota penjawat awam,” ujarnya.