Penswastaan PPSB melanun harta rakyat – KM

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang atau lebih dikenali sebagai Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) secara misteri di bawah tender terhad menimbulkan persoalan serius mengenai kepentingan awam, kebertanggungjawaban dan ketelusan, kata Ketua Menteri. Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melalui kenyataan medianya baru-baru ini di sini.

Ini adalah berikutan pendedahan jawapan bertulis kepada soalan Parlimen Guan Eng daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sri Abdul Wahid Omar yang menyatakan bahawa pembida yang berjaya, Seaport Terminal (Johor) Sdn. Bhd. telah dimuktamadkan dalam perjanjian tambahan pada 23 November 2013.

Guan Eng berkata, penswastaan tersebut dilihat sebagai satu lagi tindakan melanun harta rakyat.

“Penwastaan ini akan dilihat sebagai satu lagi tindakan melanun harta rakyat sebagaimana dilakukan syarikat konsensi tol lebuh raya.

“Melainkan pengumuman penuh dibuat oleh Kementerian Pengangkutan.

“Walaupun penswastaan ini bermanfaat kepada kepentingan awam, keengganan Kementerian Pengangkutan untuk membuat sebarang penjelasan jelas memperlihatkan keangkuhan, kerahsiaan dan salah urus merangkumi etos Barisan Nasional (BN) yang penuh dengan pilih kasih, politik dan konspirasi,” ujarnya baru-baru ini di sini.

Sebelum itu, pada majlis sidang media di sini, Guan Eng memaklumkan turut menerima sepucuk surat berhubung penswastaan tersebut.

“Seharusnya perkara ini diumumkan Kerajaan Pusat dan Kementerian Pengangkutan dan bukan hanya dimaklumkan melalui sepucuk surat sahaja.

“Sesiapa sahaja boleh membuat tuntutan begini.

“Kita (Pulau Pinang) harap Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pengangkutan dapat menjelaskan situasi sebenar yang berlaku,” tegas beliau.