Penutup lurang wajar diselenggara secara berjadual – ADUN

Teks & Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
PENGKALAN KOTA – Penutup lurang (penutup pembentungan dan saliran) wajar diselenggarakan secara berjadual bagi menjaga keselamatan khususnya pejalan kaki di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Lau Keng Ee berkata demikian pada sidang media di perkarangan Pusat Khidmatnya di Lebuh Macallum baru-baru ini.

Menurut Keng Ee, terdahulu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah memperuntukkan
RM7,500 bagi kerja-kerja mengganti dan membaiki penutup lurang yang reput, rosak dan usang.

“Kerja-kerja pembaikan ini siap pada 3 Mac lalu, iaitu lima hari lebih awal daripada tempoh yang dijadualkan siap, 9 Mac 2017.

“Sebanyak 30 penutup lurang telah ditukar sepanjang laluan perparitan di hadapan Pusat Khidmat ADUN Pengkalan Kota ini,” jelasnya yang memuji komitmen MBPP berkaitan di sini.

Turut hadir, Ahli Majlis bagi MBPP, Wong Yuee Harng; Penolong Jurutera MBPP, Nor Asmira Md. Dalil; Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Pesuruhjaya Bangunan, Sheik Osman Sinthamadar dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Lebuh Macallum, Lim Poh Aun.

Dalam perkembangan sama, Keng Ee turut menepis dakwaan bahawa terjadinya insiden seorang
penduduk di Gat Lebuh Macallum yang terjatuh ke dalam longkang.

“Insiden itu bukannya di sini (Gat Lebuh Macallum), tetapi di kawasan Pasar Prangin,” jelas beliau.