Penyelenggaraan perumahan awam terus jadi keutamaan KN

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo memberi jaminan bahawa projek-projek penyelenggaraan perumahan awam di negeri ini akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri.

Katanya, sejak 2010 hingga 2016, sebanyak RMM27.8 juta diperuntukan kepada projek-projek berkaitan khususnya dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.

“Seperti yang saya selalu katakan, adalah menjadi keutamaan Kerajaan Negeri untuk menyediakan rumah mampu milik (RMM) untuk warga Pulau Pinang.

“Tapi apa yang lebih penting, setelah rumah-rumah ini dibekalkan, tanggungjawab terletak di bahu kita (Kerajaan Negeri atau pihak berkuasa tempatan, PBT) untuk menyelenggara bangunan-bangunan ini.

“Ia sememangnya menjadi komitmen kita dan sebagai Exco bertanggungjawab, saya akan terus

pastikan kerja-kerja penyelenggaran ini diteruskan pada masa hadapan,” ujarnya pada Majlis Pengumuman Kerjakerja Menaik Taraf Blok L, M dan N Taman Free School di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Patahiyah Ismail; Ar. Yew Tung Seang (Setiausaha Bandaraya MBPP) dan Ahli-ahli Majlis MBPP.

Menurut Jagdeep, terdapat dua skim perumahan di Taman Free School yang terdiri daripada 1,124 unit keseluruhannya, yang mana 652 unit adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Perumahan Negeri yang telah dijual melalui skim sewa-beli, manakala seliaan MBPP (472).

“Di taman ini khususnya, sejak 2010 hingga 2016, beberapa kerja penyelenggaraan telah dilakukan terhadap unit-unit (Jabatan Perumahan Negeri) ini seperti kerja-kerja am, elektrik dan mekanikal membabitkan jumlah kos RM3.08 juta,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Dalam pada itu, Patahiyah dalam ucapannya turut mengumumkan bahawa bagi tahun ini, sejumlah RM1.45 juta diperuntukan untuk menaik taraf kemudahan tandas dan kemasan jubin di tiga blok L, M dan N taman tersebut.

“Sejak 2015 hingga kini (2017), MBPP telah membelanjakan sebanyak RM1.23 juta merangkumi kerja naik taraf dan penyelenggaraan di blokblok ini.

“Manakala tahun ini, MBPP melalui bajetnya turut meluluskan sejumlah RM1.45 juta tambahan, selain daripada RM535,000 sebelum ini bagi pelaksanaan kerja-kerja mengecat semula bahagian luar ketiga-tiga blok ini,” jelasnya.