Penyelia, guru agama terima ‘bonus raya’ tanda penghargaan

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini menyerahkan cek Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2017 berjumlah RM650,400 kepada penyelia dan guru agama pelbagai kategori di negeri ini, sebagaimana menjelang musim perayaan Aidilfitri pada tahun-tahun sebelum ini.

Guan Eng berkata, jumlah (RM650,400) tersebut merupakan tambahan kepada BKK berjumlah RM15.55 juta yang telah diberikan kepada guru-guru agama terlibat sejak tahun 2008 hingga 2016.

Bantuan seperti ini tidak pernah diberikan langsung oleh Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Sebagai menghargai sumbangan dan tanda penghargaan Kerajaan Negeri, kita (Kerajaan Negeri) telah bersetuju memberikan BKK sebanyak RM300 kepada 1,527 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Penyelia KAFA (13), guru Sekolah Rendah Agama Rakyat (247) dan guru Sekolah Menengah Agama Rakyat (207).

“Manakala, bagi 202 guru Maahad Tahfiz, guru sekolah pondok (28) dan guru Tadika Islam (TADIS, 31),  masing-masing menerima sebanyak RM200.

“Diharap bantuan khas ini akan membantu semua warga pendidik terlibat meringankan beban mereka dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat serta membuat persiapan raya,” ujarnya pada Majlis Pemberian BKK di sini.

Turut serta, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim.

Menurut Guan Eng, sejak Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang memerintah negeri berlandaskan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus), lebihan belanjawan dicatatkan setiap tahun dengan jumlah terkini sebanyak RM578 juta dalam tempoh lapan tahun (2008 hingga 2015).

“Ia adalah jauh beza dengan lebihan RM373 juta yang dikumpul kerajaan era Barisan Nasional (BN) selama 50 tahun (1957 hingga 2007).

“Hasil lebihan belanjawan setiap tahun tersebut telah membolehkan Kerajaan Negeri memberikan BKK. Kita
(Kerajaan Negeri) nak pastikan semua lapisan rakyat mendapat sedikit imbuhan.

“Malah, jumlah peruntukan Hal Ehwal Agama Islam juga telah naik 84 peratus kepada RM457.05 juta untuk tempoh 2008 hingga 2016, berbanding RM249.09 juta pada tempoh sama (1999 hingga 2007),” jelas beliau.