Penyertaan awam bagi Laporan Tinjauan RSNPP 2020 (Kajian Semula) buka ruang untuk umum kemukakan pandangan

GEORGE TOWN – Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) Negeri Pulau Pinang yang mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengadakan program publisiti dan penyertaan awam bagi Laporan Tinjauan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) 2020 (Kajian Semula).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menjelaskan bahawa program publisiti dan penyertaan awam tersebut adalah melibatkan penilaian dan kajian semula terhadap dasar-dasar yang telah dikenal pasti dalam RSNPP 2020 dan disyorkan dipinda berdasarkan kepada arahan-arahan dari Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN), aduan-aduan orang awam dan maklumbalas-maklumbalas daripada agensi teknikal.

“Program publisiti dan penyertaan awam ini diadakan selaras dengan peruntukan Seksyen 9, Akta 172 bagi membolehkan semua pihak termasuk orang awam, pemaju, badan-badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan, persatuan dan pelajar di seluruh Negeri Pulau Pinang terlibat sama dalam proses perancangan dan membuat keputusan ‘decision making’ dalam perancangan Draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 kelak,” ujarnya pada sidang media di sini 30 November lalu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo; Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng.

Hadir sama, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi Komtar (Teh Lai Heng), Sungai Pinang (Lim Siew Khim) dan Pulau Tikus (Yap Soo Huey) serta Pengarah JPBD, Datuk Mohd. Anuar Maidin dan Timbalannya, Abd. Talip Abd. Rahman.

Dalam pada itu, Mohd. Anuar ketika ditemui berharap agar orang ramai dapat menyertai program publisiti dan penyertaan awam ini.

“Hasil daripada tinjauan ini kelak kami (JPBD) akan membuat satu draf dan selepas itu akan ada lagi satu proses pendengaran awam dan bantahan yang dijangka akan diadakan antara empat hingga lapan minggu selepas tarikh akhir Laporan Tinjauan ini.

“Selain hadir ke lokasi yang telah ditetapkan, orang ramai juga boleh mengakses Laporan Tinjauan ini melalui laman sesawang JPBD (http://jpbd. penang.gov.my/),” ujarnya.

Program publisiti dan penyertaan awam Laporan Tinjauan RSNPP 2020 akan diadakan selama lapan (8) minggu bermula dari 1 Disember 2016 sehingga 31 Januari 2017.

Ruang pameran program publisiti ini dan bagi borang maklum balas awam boleh diperoleh di tiga (3) lokasi di Negeri Pulau Pinang iaitu :

• Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang Ruangan Menunggu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Tingkat 3, Komtar, 10000 Pulau Pinang.

• Majlis Bandaraya Pulau Pinang Dewan Bandaran MBPP, Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, 10200 Pulau Pinang.

• Majlis Perbandaran Seberang Perai Ruang Legar MPSP, Jalan Perda Utama, Bandar Perda, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Ruang Pameran bagi tiga (3) lokasi tersebut akan dibuka dari jam 9 pagi sehingga 4.30 petang pada hari bekerja (Isnin hingga Jumaat).

Untuk maklumat selanjutnya, sila hubungi talian 04 – 650 5560 / 5672 / 5444 / 5428.