Perang biologi denggi guna ikan guppy – Chong Eng

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

PADANG LALANG – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan pertubuhan sukarela MPSP Watch barubaru ini melepaskan beribu-ribu anak ikan guppy ke dalam parit dekat Taman Kota Permai di sini demi memusnahkan pembiakan jentik-jentik baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng berkata, kaedah perang biologi terhadap nyamuk aedes dan
wabak denggi menggunakan ikan guppy itu nampaknya lebih berkesan serta mesra habitat sungai, berbanding menggunakan racun pemusnah jentikjentik.

“Kaedah baru ini sebenarnya lebih berkesan. Rakyat sendiri boleh mencuba perang biologi ini di rumah masing-masing.

“Di mana jentik-jentik boleh hidup, di situ ikan guppy boleh hidup serta tidak akan menggugat ekologi hidupan lain (selain jentik-jentik),” ujarnya yang juga Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti di sini baru-baru ini.

Berdepan wartawan, Chong Eng bersama-sama Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Bernard Cheen (Pengasas pertubuhan sukarelawan MPSP Watch) turut melakukan demontrasi melepaskan anak-anak ikan guppy ke dalam bekas air ujian yang berisi jentik-jentik.

Sebelum itu, Chee Keong berkata, satu laporan oleh Asia Development Bank (ADB) dan Bank Dunia bersama-sama Kerajaan  Cambodia dan Laos mendapati bahawa habitat ikan guppy (Piecillia Reticulate) boleh digunakan untuk melawan wabak denggi.

“Laporan tersebut menyatakan bahawa (seekor) ikan guppy memakan purata 102 ekor jentik-jentik setiap hari,” jelasnya.

Justeru, kata beliau, langkah menyahpusatkan kawalan wabak denggi kepada Kerajaan Negeri perlu dipertimbang, memandangkan strategi sedia ada yang digunakan Kerajaan Pusat sebelum ini didakwa kurang berjaya.

“Sebagai contoh, pengagihan abate boleh dilaksanakan dengan lebih efektif sebab menggunakan rangkaian desentralisasi pejabat Ahli Parlimen, ADUN, JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti), RT (Kelab Rukun Tetangga) dan RT (Persatuan Penduduk),” ujar Chee Keong.

Tambahnya, laporan kajian sama di Cambodia turut menyebut, 40 peratus bekas air di rumah-rumah mempunyai jentik-jentik, sebelum kaedah perang biologi menggunakan ikan guppy diperkenalkan.

Sehingga 23 Februari tahun ini, 16,383 kes denggi direkodkan di seluruh Negara, dengan 29 jumlah kematian.