Perjuangkan hak wanita tanpa prejudis

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menganggap golongan wanita yang mewakili hampir 49 peratus daripada komposisi penduduk Malaysia sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri. Perkara tersebut dinyatakan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow ketika hadir merasmikan Sambutan Hari Wanita Sedunia 2015 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Menyedari wanita sebagai aset penting kepada negara, beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus komited memastikan golongan wanita di negeri ini tidak dipinggirkan mahupun dilupakan dalam arus pembangunan semasa di negeri ini.

“Tiada siapa yang boleh menafikan bahawa masyarakat kita dibina atas pengorbanan yang telah dibuat oleh golongan wanita dalam kehidupan termasuk ibu kita, adik-beradik kita, nenek, ibu saudara, sepupu dan anak-anak perempuan kita.

“Hari ini, kita bukan sahaja meraikan kekuatan dan daya tahan wanita, malah juga memperjuangkan hak-hak wanita tanpa prejudis dengan menyerlahkan lagi golongan wanita sebagai aset terpenting negara,” katanya yang turut hadir bersama isteri, Tan Lean Kee.

Hadir sama pada sambutan tersebut, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan jawatankuasa penganjur dari Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan Women’s Centre for Change (WCC).

Bersempena sambutan tersebut, pelbagai acara menarik dirangka sepanjang bulan Mac termasuk Bengkel Keharmonian Keluarga Tanggungjawab Bersama, Karnival Usahawan Wanita Pulau Pinang, Seminar Asas Kaunseling, Seminar Anti-Buli, pelancaran perkhidmatan mamogram percuma, Mammo Penang dan Taklimat Kesedaran Gender yang dikelola sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri, PWDC, WCC dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kon Yeow kemudian turut menyeru supaya kaum lelaki juga harus menjadi sebahagian daripada perjuangan melawan keganasan, diskriminasi dan prejudis terhadap golongan wanita.

“Hak-hak wanita juga adalah hakhak asasi kemanusiaan, oleh itu kita harus berhenti berkata

“Ini adalah masalah wanita, bukan masalah saya” dan menyedari bahawa apabila wanita menderita, maka masyarakat juga akan turut menderita,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng ketika ditemui memberitahu bahawa golongan wanita akan diberi keutamaan dan peluang dalam pelbagai lapangan termasuklah perolehan maklumat, pentadbiran, bantuan dan kursus berkaitan keusahawanan serta pemberdayaan wanita.

“Golongan wanita tidak pernah dipinggirkan oleh Kerajaan Negeri, malah mereka (wanita) sentiasa diberi pelbagai ruang dan peluang untuk menyertai program yang direka khas bagi pembangunan, peningkatan kemahiran dan pengetahuan,” jelas beliau.

Tambah Chong Eng, walaupun peranan wanita dalam masyarakat kini cukup terserlah dan amat penting dalam rancangan pembangunan jangka panjang negara, masih terdapat beberapa isu yang masih membimbangkan.

“Secara kasarnya, keganasan rumah tangga dianggap sebagai satu bentuk jenayah yang lebih mengancam kaum wanita berbanding kaum lelaki.

“Oleh demikian, saya ingin menyeru semua pihak termasuk NGO (badan bukan kerajaan) untuk sama-sama memainkan peranan melindungi wanita dan memartabatkan maruah golongan ini.

“Ia amatlah bertepatan dengan tema sambutan tahun ini iaitu #MakeItHappen atau #JadikanKenyataan dengan memfokuskan beberapa kepentingan berkaitan penglibatan wanita dan kesamarataan gender,” ujarnya.

Hari Wanita Sedunia disambut pada 8 Mac setiap tahun sejak 1911 . Bagaimanapun, di Malaysia, Hari Wanita Sedunia mula diraikan semenjak tahun 1962 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan, pengorbanan dan penglibatan golongan wanita kepada pembangunan negara.